KUALA LUMPUR: “Pernikahan kami sudah pun berlangsung pada tahun lalu.”
Demikian kata penyanyi rap, Bunga Isme yang mengesahkan status terkininya yang sudah bergelar isteri kepada seorang komposer, Amzar Sabri, pada tahun lalu.
Menurut pemilik nama sebenar Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 24, keputusan tersebut juga dibuat demi menghormati permintaan kedua-dua belah keluarga.
“Kami sudah berbincang tentang hal ini, Alhamdulilah, semua urusan dipermudahkan.
Pernikahan kami sudah pun berlangsung pada tahun lalu.
“Selepas selesai belajar, saya tidak jangka rezeki berkahwin itu datang lebih awal. Pernikahan ini juga demi menghormati keputusan kedua-dua belah keluarga,” katanya.
Bunga berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Warner Music Fest baru-baru ini.
Selain enggan mendedahkan tarikh sebenar, penyanyi lagu Intan Payung itu lebih selesa untuk tidak terlalu berkongsi secara terperinci mengenai perkahwinannya kepada umum.
“Sebenarnya kami mahu bersederhana sahaja, lebih senang dan tenang untuk menjalani kehidupan seterusnya.
“Bagi saya kita kena dapat kata persetujuan daripada semua pihak. Jadi kami keputusan untuk mengadakan majlis secara kecil-kecilan.
“Majlis yang diraikan bersama keluarga dan sahabat terdekat sahaja,” jelasnya.
Ditanya mengenai perancangan memiliki cahaya mata, Bunga mengakui tidak terlalu merancang namun, berpasak kepada rezeki Tuhan tentang perihal itu.
Terdahulu, status hubungan Bunga dengan komposer itu menjadi tanda tanya selepas mereka dilihat mengenakan pakaian sedondon dan beraya bersama, pada April lalu. -UTUSAN