Lembah Klang tenggelam lagi

Lembah Klang tenggelam lagi

banjir
BANJIR di sekitar Jalan Raja Mahadi ekoran hujan berterusan seawal pagi semalam di Kampung Bharu. Kuala Lumpir. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hujan lebat berterusan sejak kira-kira pukul 7 pagi semalam menyebabkan puluhan ribu penduduk Lembah Klang ‘huru-hara’ akibat terperangkap dalam banjir kilat sedalam kira-kira 0.5 meter.

Ia ekoran limpahan air sungai-sungai utama iaitu Sungai Batu, Sungai Klang dan Sungai Gombak yang menyebabkan banjir kilat di 13 laluan utama di ibu negara antaranya Jalan Pudu, Jalan Salak Selatan, Jalan Kuching, Jalan Pantai Baru dan Jalan Genting Klang.

Turut berlaku di Jalan Gombak, Jalan Damansara, Jalan Manjalara, Jalan Maharajalela, Jalan Wangsa Maju dan Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala Jalan Tun Razak.

Hujan lebat melebihi 114 milimeter (mm) per jam berbanding purata 60 mm semalam turut menyebabkan kawasan yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini seperti berhampiran Jalan Parlimen dan laluan ke Universiti Malaya (UM) turut digenangi banjir.

Akibatnya, pergerakan 2.2 juta juta kenderaan yang memasuki ibu negara pada waktu pagi terjejas dan di beberapa laluan. Ada yang langsung tidak bergerak disebabkan dinaiki air menyebabkan ramai yang lewat masuk kerja.

Malahan, Speaker Dewan Rakyat mengumumkan sidang yang sepatutnya bermula 10 pagi ditangguhkan selama 30 minit berikutan ramai ahli Parlimen terperangkap dalam banjir.

Hujan lebat yang bermula sejak awal pagi turut menyebabkan kejadian tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati, Ampang. Sejumlah 20 penduduk berdekatan turut diarah mengosongkan rumah masing-masing sebagai langkah keselamatan.

Perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) juga mengalami gangguan berikutan air bertakung di landasan Sri Rampai hingga Wangsa Maju.

Di Ukay Perdana, Hulu Klang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyelamatkan 21 murid tabika Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Klang yang terperangkap dalam banjir.

Selain itu, kewujudan longkang atau saliran air tidak ‘bertuan’ sepanjang 600 kilometer (km) yang kebanyakannya di daerah Petaling dan Klang dikenal pasti antara punca berlakunya banjir di Selangor.

Kesemua longkang itu dibina pihak tertentu sama ada melibatkan kawasan perumahan, tepi jalan, kampung dan kilang.

Mengulas kejadian banjir semalam, pakar-pakar berpandangan, majoriti kawasan permukaan darat sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dibina daripada bahan konkrit mengakibatkan kegagalan air menyerap ke dalam tanah sekali gus membawa takungan dan limpahan air di permukaan darat.

Lebih mengejutkan, terdapat lokasi di Lembah Klang yang jarang dilanda banjir seperti kawasan hilir iaitu Hulu Kelang, Ukay Perdana dan Taman Melati kini sering mengalami musibah alam sehingga menjejaskan produktiviti kehidupan warga kota.

Banjir kilat sekitar Jalan Raja Mahadi di Kampung Baru, Kuala Lumpur ekoran hujan berterusan pagi semalam. -UTUSAN/ AMIR KHALID

Malah, menurut pakar, faktor pembangunan juga mendorong banjir di sekitar pusat bandar apabila saliran perparitan dan longkang sudah tidak mampu menampung takungan air disebabkan hujan ekstrem yang membawa hujan luar biasa.

Ketua Kumpulan Penyelidikan Hidraulik dan Hidrologi Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Nor Eliza Alias berkata,  masalah banjir Lembah Klang kini tidak lagi tertumpu di kawasan bandar tetapi juga di lokasi yang tidak pernah dan jarang berlaku musibah alam tersebut.

Katanya, peralihan monsun juga berlaku secara mengejut meskipun fenomena itu diramalkan pada pertengahan bulan ini sekali gus menyebabkan orang ramai tidak bersedia untuk menghadapi musibah tersebut.

“Sebagai contoh, jika 10 tahun dahulu hujan dalam lingkungan 10 mm namun keadaan sudah berubah sejak kebelakangan ini. Tambahan pula, longkang dan sistem perparitan pada satu dekad lalu boleh menampung jumlah tersebut, tetapi situasi berlainan jika kadar hujan semakin meningkat.

“Tidak termasuk lagi longkang tersumbat kerana dipenuhi sampah-sarap. Lagi banyak jumlah penduduk, lagi tinggi peningkatan pembuangan sisa pepejal tidak terurus dan membawa masalah sistem perparitan tersumbat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Nor Eliza berkata, Lembah Klang memerlukan sebuah lagi sistem pengurusan banjir seperti SMART yang memfokuskan di kawasan lain khususnya di kawasan hilir sebagai pelan mitigasi bencana alam itu.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UKM), Prof. Dr. Aweng Eh Rak berkata, majoriti kawasan bandar termasuk di Lembah Klang terdiri daripada binaan konkrit dan simen sekali gus menyebabkan kegagalan penyerapan air.

“Pada kebiasaannya, air hujan menyerap ke dalam tanah sekitar 60-70 peratus, tetapi disebabkan banyak kawasan berbatu maka ia gagal berlaku. Ia secara tidak langsung membawa air bertakung di permukaan,” katanya.

Justeru itu, katanya, sudah tiba masanya Lembah Klang dilengkapi kemudahan pusat takungan air bawah tanah seperti dilakukan negara maju untuk menyimpan air banjir untuk sementara waktu.

Katanya, tempat meletak kereta bawah tanah boleh digunakan untuk tujuan tersebut berbanding membina sebuah lagi SMART yang menelan kos perbelanjaan yang tinggi.

“Usaha ini perlu melibatkan sektor swasta, di mana pusat takungan air bawah boleh menjadi dwi fungsi iaitu satu untuk menyimpan air, selainnya untuk boleh menjadi tempat meletak kereta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya