Lembaga Koko Malaysia distruktur semula, kelapa jadi komoditi - Utusan Malaysia

Lembaga Koko Malaysia distruktur semula, kelapa jadi komoditi

AHMAD Zahid Hamidi beramah mesra bersama pengunjung Hari Terbuka Malaysia Madani, Unisel Depani dan Kelapa Fest di Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Kerajaan bersetuju untuk menstrukturkan semula Lembaga Koko Malaysia (LKM) dengan memasukkan sekali tanaman kelapa dalam lembaga tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, LKM akan dikenali sebagai Lembaga Koko dan Kelapa Malaysia sekali gus membolehkan kelapa dijadikan sebagai salah satu elemen penting bagi penjanaan baharu pendapatan penduduk luar bandar.

“Keputusan Kabinet ini tidak memerlukan perbelanjaan ataupun perjawatan tambahan sebaliknya kita menggunakan perjawatan sedia ada dan membawa mereka yang pakar dalam bidang ini (kelapa) ke dalam lembaga tersebut.

“Ini termasuk mereka yang berada dalam Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan atau Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) atau di mana-mana institut pendidikan untuk berada (dalam lembaga ini) dan ini satu perdekatan di mana kita tidak mahu berlaku pembaziran,” jelasnya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Program Jelajah Hari Terbuka ‘Malaysia Madani, Unisel Depani’ dan Pesta Kelapa dengan kerjasama Parlimen Bagan Datuk di Dataran Pesisir Bagan Datuk, hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, memberitahu dua perbincangan telah dilakukan bagi mempromosikan kelapa sebagai produk penjana pendapatan luar bandar.

katanya, ketika ini terdapat 215,000 ketua isi rumah pekebun kecil kelapa di seluruh negara yang dijangka mendapat manfaat daripada keputusan kerajaan itu.

Beliau mengakui mungkin tiada publisiti dibuat sebelum ini mengenai keputusan tersebut, justeru akan mengadakan pertemuan dengan menteri berkaitan Selasa ini untuk mengetahui sejauh mana keputusan Kabinet itu telah dilaksanakan.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, memberitahu pihaknya bersetuju untuk menjadikan Program Jelajah Hari Terbuka ‘Malaysia Madani, Unisel Depani’ dan Pesta Kelapa itu sebagai acara tahunan yang diadakan setiap minggu pertama Oktober.

Tambah beliau, program itu akan diperluas dengan turut memanggil pengusaha produk berasaskan kelapa dari seluruh negara menyertainya serta turut mengadakan Karnival Usahawan Desa di bawah kementeriannya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara, juga mengumumkan Unisel menjadi universiti keenam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) berkuat kuasa serta merta.

Ketika ini, terdapat lima universiti di bawah MTUN iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka(UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Kuala Lumpur (UKL). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya