“Saya nampak ‘lembaga’ itu semasa penggambaran adegan berdarah.”
Demikian cerita pelakon Wafariena Roslan, 29, menceritakan pengalaman seramnya semasa penggambaran telefilem Budak Pendamping di sebuah universiti yang terletak di Tanjung Malim.
Menurut Wafa, ketika kejadian, mereka semua sedang menjayakan sebuah babak yang dipenuhi darah sekitar jam 12 tengah malam. Semasa itulah dia melihat satu ‘lembaga’ tiba-tiba muncul dan duduk di kawasan yang dipenuhi darah tersebut.
“Sebenarnya darah yang kami gunakan hanyalah darah palsu sahaja. Mungkin ‘lembaga’ itu suka dan mula tunjukkan diri. Dia tidak kacau kami, cuma sekadar beritahu dia ‘ada’ di sana.
“Selepas nampak ‘lembaga’ tersebut, saya ambil pendekatan berdiam diri. Jika saya tunjuk reaksi takut atau beritahu sesiapa tentang apa yang saya nampak, ia akan membuatkan semua yang berada di set tidak senang duduk.
“Sekiranya perkara itu terjadi, sudah tentu kami semua tidak dapat melunaskan kerja apatah lagi berlakon dengan baik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sebuah restoran makanan Arab di Ampang, baru-baru ini.
Rupanya, ini bukan kali pertama pelakon yang mula melonjak nama menerusi drama 7 Hari Mencintaiku itu mengalami peristiwa mistik.
Sebelum ini dia juga pernah terserempak dengan makhluk ‘misteri’ ketika pulang daripada penggambaran.
“Orang kata larut malam adalah masa ‘dia’. Saya pernah sahaja ternampak ada lembaga besar kakinya panjang. Dia langkah sekali sahaja untuk melintasi lebuhraya selebar tujuh garisan.
“Saya takut sampai demam. Mungkin ketika itu saya juga sedang datang bulan. Kata orang, ‘benda’ itu mudah ganggu kita dalam keadaan begitu,” jelasnya.
Menurut Wafa, sehingga kini, dia akan mengamalkan ayat Kursi untuk melindungi diri daripada terserempak atau diganggu makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Walaupun pernah berhadapan dengan situasi seram beberapa kali, calon Artis Baharu Popular, Anugerah Bintang Popular ke-33 itu juga tidak pernah menolak tawaran berlakon naskhah seram atau sebarang filem dengan genre paranormal.
“Alhamdulillah, pengalaman lalu tidak membuatkan saya takut sampai tolak sebarang tawaran lakonan. Saya tidak kisah untuk berlakon cerita seram,” jelasnya.
Dalam perkembangan terkini, Wafa bakal membawakan karakter Cikgu Fika dalam telefilem Budak Pendamping. Ia mengisahkan perjalanan hidup remaja bernama Firash lakonan Idan Aedan yang menjadi mangsa buli di sebuah kem.
Namun begitu, keadaan berubah dengan kehadiran ‘budak pendamping’ iaitu makhluk halus yang ingin membalas dendam dan mendampingi Firash.
Turut sama menjayakan naskhah arahan Dr Ahmad Idham itu ialah Fimie Don, Syafie Naswip, Puteri Sarah, Mustaqim Bahadon dan Ammar Aqasha.-UTUSAN