HULU TERENGGANU: Lelaki warga emas, Musa Ahmad, 65, yang ditemukan mati di kawasan cerun di Kampung Basung dekat sini hari ini disahkan akibat serangan gajah
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, hasil bedah siasat didapati mayat mangsa mengalami kecederaan di dada, kepala dan tangan akibat tekanan objek berat.
Menurutnya, bedah siasat dijalankan di Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) di sini selesai kira-kira pukul 3.40 petang.
“Mangsa dibawa ke HHT sejurus ditemukan pukul 7.15 pagi tadi di kawasan cerun di bawah talian kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) lebih kurang 100 meter dari kebun mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau memberitabu, kes diklasifikasikan di bawah mati mengejut.
Tambahnya, terdahulu pada pukul 9.32 malam semalam, polis terima maklumat dari orang awam menyatakan mangsa tidak pulang ke rumah sejak dari pagi setelah pergi ke kebun.
“Keluarga dan orang kampung telah berusaha mencari serta mengesan mangsa di kebun, namun gagal ditemukan.
“Pada pukul 7 pagi hari ini, usaha mencari dan menyelamat mangsa diteruskan semula melibatkan pelbagai agensi dan penduduk kampung.
“Bagaimanapun, mangsa berjaya ditemukan serta disahkan telah meninggal dunia,” ujarnya. – UTUSAN