HULU TERENGGANU: Seorang lelaki warga emas ditemukan mati dipercayai dipijak gajah di Kampung Basung dekat sini, pada pukul 7.30 pagi, hari ini.
Mangsa, Musa Ahmad, 65, yang ditemukan dalam keadaan berdarah hidung dan lebam pada anggota badan dilaporkan hilang ketika keluar ke kebunnya di kampung itu, semalam
Anak mangsa, Romisa Musa, 40, berkata, mayat Musa ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri oleh menantunya, Mohd. Ridhwan Shafie, 35, bersama penduduk kampung yang mencarinya.
Menurutnya, ayahnya telah keluar dari rumahnya dengan berjalan kaki tanpa memberitahu sesiapa ke kebun itu pada pukul 8 pagi dan kebiasaannya pulang sekitar pukul 4 atau 5 petang.
“Semalam, emak saya, Fatimah Ibrahim, 55, pergi kenduri dan selepas balik ke rumah lebih kurang pukul 11 pagi didapati ayah tiada di rumah.
“Selepas masih tidak pulang untuk solat Jumaat, pukul 3 petang, adik saya pergi mencari ayah di kebun, namun gagal menemuinya sehinggalah kami sekeluarga dikejutkan dengan penemuan mayatnya pagi ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Tambah anak sulung dari 10 beradik ini, keluarganya telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang di sini, pada pukul 9 malam.
“Sepasukan anggota polis dan dibantu penduduk kampung kemudian telah mengadakan operasi mencari ayahnya sehingga pukul 12 tengah malam,” ujarnya.
Romisa menambah, ahli keluarga bersama penduduk kampung meneruskan pencarian seawal pagi hari ini sehingga berjaya menemukam ayah yang telah tidak bernyawa di kawasan kebunnya yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.
“Ketika ditemukan ayah saya berdarah hidung, selain terdapat lebam pada anggota bodan seperti dipijak gajah, maun kami serahkan kepada pihak berkaitan untuk siasatan lanjut,” mkatanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu,, Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN