PETALING JAYA: Walaupun umur mencecah separuh abad dengan kudrat yang semakin terbatas namun kerana minat dengan sukan mendaki, Mohd Zamri Hamid tidak pernah terfikir untuk bersara.
Mohd.Zamri mula menceburi sukan berkenaan sejak lebih 30 tahun lalu berkata, aktiviti itu bukan sahaja memberi kepuasan kepadanya sebaliknya berjaya membawanya ke peringkat tertinggi termasuk pernah mewakili negara.
“Saya mula menceburi sukan ini ketika berumur 20-an. Pada mulanya ia sekadar minat tetapi lama kelamaan saya mahu terbabit secara serius iaitu pada tahun 2003 sehingga berjaya mewakili Malaysia untuk kejohanan ‘X Games’.
“Kemudian pada tahun 2004 hingga 2008, saya menjadi jurulatih pasukan Malaysia pula dan kini saya lebih tertumpu untuk pembangunan belia,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mohd. Zamri antara 350 peserta pendaki tembok tiruan yang menyertai kejohanan Crank Lead 2024 anjuran Camp Five (M) Sdn Bhd (Camp5) bermula dari 4 hingga 6 Oktober 2024
Sebagai rekod, Crank Lead 2024 adalah siri kejohanan pendakian tembok tiruan yang menguji ketangkasan peserta pemula, semi profesional dan profesional tempatan dan antarabangsa menerusi dua disiplin yang dipertandingkan iaitu Lead dan Top Rope.
Kejohanan ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM75,000 termasuk wang tunai RM14,900 untuk bakal pemenang setiap kategori dan disiplin yang dipertandingkan.
Acara itu yang sudah memasuki tahun ketiga penganjurannya sejak 2022 terus menjadi tumpuan peserta negara asing seperti Indonesia, Singapura, Thailand, China, Perancis, Norway dan Amerika Syarikat (AS) dengan mengikut piawaian Kejohanan Sukan Mendaki Persekutuan Antarabangsa (IFSC) yang cukup berprestij.
Dalam pada itu Mohd. Zamri berkta, antara jenis pendakian yang diceburi termasuk boulder climbing (mendaki jalur-jalur pendek tanpa tali) speed climbing (secara pantas) dan lead climbing (menggunakan tali yang dilakukan dua orang atau lebih).
Disebabkan minat itu, dia turut melatih lima anaknya untuk menceburi dalam sukan ekstrem itu.
“Saya bawa anak saya setiap kali melakukan aktiviti ini sejak mereka berumur setahun lagi dan apabila umur meningkat dewasa, saya mula melatih mereka.
“Alhamdulilah mereka mula mewarisi minat saya. Cuma saya menasihatkan mereka agar pandai membahagikan masa antara pelajaran dan sukan ini,” ujarnya. – UTUSAN