Lelaki tidak mengaku tipu kerja juruterbang tidak wujud - Utusan Malaysia

Lelaki tidak mengaku tipu kerja juruterbang tidak wujud

MOHAMAD Faizul Baharudin didakwa menipu pekerjaan tidak wujud dituduh di Majistret Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang penjenayah licik yang menjadi buruan polis sejak enam tahun lalu berhubung kes penipuan mencecah jutaan ringgit akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, di sini hari ini.

Tertuduh, Mohamad Faizul Baharudin, 44, yang didakwa atas pertuduhan menipu pekerjaan tidak wujud itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan curang telah menipu Latipah Ahmad Sudan, 64, dan mendorong wanita itu menyerahkan wang tunai sebanyak RM24,000 kepadanya bagi mendapatkan pekerjaan juruterbang yang tidak wujud.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu hadapan mesin juruwang automatik (ATM) CIMB Bank di Gunung Rapat, Ipoh antara pukul 12 tengah hari hingga 1 petang dari 22 Disember 2016 hingga 8 April 2018.

Pendakwaan terhadap Mohamad Faizul dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nuranisah Ismah Muhammad Husaini manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gnanarajan.

Terdahulu, Nuranisah Ismah mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh namun Robert memohon jumlah jaminan minuman atas alasan anak guamnya menanggung seorang isteri dan lima anak selain tiada bantahan sekiranya syarat tambahan dikenakan.

Siti Nora kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Mahkamah juga menetapkan 27 November depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Media sebelum ini melaporkan, suspek yang menyamar pelbagai profesion termasuk timbalan pendakwa raya, juruterbang dan jurutera Petronas itu ditahan di sekitar Ampang, Selangor pada pukul 11.45 malam, Selasa lalu.

Lelaki itu ditahan bersabit siasatan kes penipuan untuk mendapatkan pengesahan lesen juruterbang tidak wujud yang dilaporkan oleh seorang pengadu di Ipoh.

Hasil semakan rekod ke atas suspek mendapati dia terbabit dalam beberapa kes lain seperti penipuan urusan jual beli barangan elektrik, tipu urusan jual beli traktor dan tipu urusan pembekalan barangan helikopter. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya