KOTA TINGGI: Seorang lelaki warganegara Taiwan memohon maaf kepada rakyat Malaysia selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, di sini semalam atas dakwaan melakukan perbuatan lucah di tempat awam dengan berpakaian mencolok mata di Desaru, dekat sini, Jumaat lalu.
Tertuduh, Arthur Wang, 66, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan lucah yang mendatangkan kegusaran kepada orang lain di tempat awam dengan cara berpakaian mencolok mata antara pukul 4 hingga 6 petang di jalan utama Jalan Desaru, Pengerang pada 4 Oktober lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam pertuduhan berasingan yang dibacakan dalam bahasa Inggeris, seorang lelaki warganegara India, P. Satyanarayana Prasad, 70, turut didakwa melakukan perbuatan sama pada waktu dan tarikh sama.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela mengaku bersalah dan meminta hukuman denda dikurangkan.
Arthur yang memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas perbuatannya memaklumkan telah 10 tahun mempromosikan kebudayaan Orang Asli di Taiwan dan pakaian tersebut adalah pakaian daripada kaum tersebut.
Sementara itu, Satyanarayana pula berkata, kehadirannya ke negara ini bertujuan baik untuk membantu mendapatkan dana amal menerusi acara itu.
Dia pulang ke India semalam dan memohon supaya denda dikenakan dikurangkan berikutan tidak membawa wang yang banyak.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Ghafar Ab. Latif, Ahmad Khairuddin Khalid dan Foo Fang Leong.
Nurkhalida Farhana kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 kepada kedua-dua tertuduh dan jika gagal membayar, mereka boleh dipenjara selama sebulan.
“Kamu perlu mengetahui budaya diamalkan di sini, menghormati budaya di Malaysia yang penuh dengan kesopanan dan kesusilaan,” nasihatnya. – UTUSAN