Lelaki Rohingya didakwa tikam teman wanita

Lelaki Rohingya didakwa tikam teman wanita

FOZI Alam Mohammad Alam dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini bagi didakwa atas pertuduhan menikam teman wanitanya dalam kejadian di Bahau, Jempol bulan lalu. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang lelaki etnik Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan menikam teman wanitanya dalam kejadian di Bahau, Jempol bulan lalu.

Tertuduh, Fozi Alam Mohammad Alam, 43, yang tidak diwakili peguam mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti, namun tiada pengakuan direkodkan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas seorang wanita berusia 40 tahun menggunakan sebilah pisau dengan menikam yang boleh menyebabkan kematian.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 3.30 pagi di sebuah rumah di Taman ACBE di Bahau, Jempol pada 26 September lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Rosli Muhamad kemudiannya memohon satu tarikh lain untuk pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, selain tiada wang jaminan ditawarkan disebabkan tertuduh merupakan warga asing.

Majistret menetapkan 12 November ini tarikh sebutan semula kes dan tidak membenarkan sebarang jaminan.

Pada 26 September lalu media melaporkan, gara-gara mahu pulang ke negara asal, seorang wanita Indonesia berusia 40 tahun parah ditikam teman lelakinya yang merupakan etnik Rohingya.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook dilaporkan berkata, punca kejadian disebabkan suspek tidak bersetuju dengan hasrat mangsa hendak pulang ke Indonesia. Mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka, bahu kiri dan perut.

Lelaki itu berjaya ditangkap di Pulau Pinang pada 15 Oktober lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya