PUTRAJAYA: Seorang pengguna jalan raya yang videonya tular di media sosial kerana mencederakan dua lelaki dengan kunci stereng ditahan polis hari ini.
Lelaki berusia 20 tahun yang juga pelajar institusi pengajian tinggi swasta itu ditahan petang tadi bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi di Jalan Air Itam menuju ke pekan Dengkil itu, suspek dikesan memukul dua lelaki dengan kunci stereng.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Shan Gopal Krishnan berkata, suspek ditahan selepas aduan dibuat mangsa tengah hari tadi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, pergaduhan antara suspek dan mangsa tercetus akibat tidak berpuas hati ketika kedua-dua pihak melalui jalan itu.
“Kejadian ini dirakam oleh orang awam sebelum ditularkan di media sosial. Siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa cedera di kepala dan tangan akibat dipukul menggunakan kunci stereng,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pihaknya turut merampas seunit kunci stereng yang digunakan suspek sebagai senjata untuk mencederakan mangsa.
Shan Gopal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada hukuman tersebut.
“Kes itu sedang disiasat dan kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya.
“Kami ingin menasihatkan orang awam untuk tidak menimbulkan apa-apa spekulasi serta tidak berkongsi berita yang tidak benar berkenaan kejadian ini,” katanya. – UTUSAN