IPOH: Padah kerana memperlekehkan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seorang lelaki didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku melakukan kesalahan itu, minggu lalu.
Tertuduh, Samsudin Yoep, 58, juga berdepan hukuman penjara seminggu jika gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman itu dijatuhkan selepas lelaki terbabit mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah mengatakan kepada seorang anggota JPJ yang bertugas di kaunter pertanyaan iaitu ‘JPJ kena bayar dulu, baru kerja jalan’ dengan tujuan mengganggu keamanan.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Kaunter Perdagangan, Tingkat 2 JPJ Kampung Simee dalam daerah Kinta pada pukul 9 pagi, 22 Oktober 2024.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin memohon tertuduh dikenakan hukuman denda maksimum bagi memberi pengajaran namun tertuduh yang diwakili Robert Gnanarajan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon agar jumlah jaminan minimum diberikan atas alasan lelaki terbabit mempunyai tanggungan isteri dan tiga anak.
Berdasarkan fakta kes, lelaki itu menyebut ‘JPJ kena bayar dulu, baru kerja jalan’ secara berulang di hadapan Zuriada sebelum mangsa bertindak membuat laporan.
Tertuduh ditahan polis pada pukul 1.40 pagi, 23 Oktober lalu. – UTUSAN