Lelaki pandu kereta melulu ceroboh sekolah, langgar pelajar perempuan - Utusan Malaysia

Lelaki pandu kereta melulu ceroboh sekolah, langgar pelajar perempuan

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERUAS: Seorang pelajar perempuan cedera selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu secara berbahaya dan menceroboh masuk ke kawasan sebuah sekolah menengah di Pantai Remis, dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.23 petang itu, pelajar perempuan berusia 13 tahun yang sedang menjalani latihan bola tampar bersama pelajar lain, cedera di kaki kiri dan kini dirawat di Hospital Seri Manjung (HSM).

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman, berkata sebelum itu kereta jenis Myvi dipandu seorang lelaki secara melulu dan melanggar pagar gelanggang bola keranjang di Taman Bintang di Pantai Remis, sehingga roboh.

“Suspek kemudian memandu memasuki kawasan sebuah sekolah menengah tidak jauh dari situ dan menuju ke arah dewan sekolah.

“Dia kemudian melanggar salah seorang pelajar perempuan yang sedang menjalani latihan bola tampar bersama pelajar lain,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, suspek yang berusia 47 tahun kemudian terus beredar dari kawasan sekolah manakala mangsa dihantar ke HSM untuk menerima rawatan lanjut.

Beliau memaklumkan, polis kemudian berjaya menahan lelaki itu bersama sebuah Myvi berwarna putih pada pukul 6.50 petang.

Tambahnya lagi, suspek dirujuk ke HSM untuk rawatan lanjut memandangkan keadaan mentalnya yang didapati tidak stabil.

Tegas beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu agar menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nur Munawara Ahmad di talian 011-16240392 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6886222 bagi membantu siasatan polis. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya