Lelaki miliki 23 rekod jenayah antara lima ditahan edar dadah - Utusan Malaysia

Lelaki miliki 23 rekod jenayah antara lima ditahan edar dadah

AZIZI Mat Aris (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan polis di Teluk Intan pada Khamis lalu dalam sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang penjenayah tegar yang mempunyai 23 rekod jenayah lampau antara lima lelaki yang ditahan bersama 21.87 kilogram (kg) dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Chui Chak, Langkap, Khamis lalu.

Tangkapan terhadap suspek berusia 30 hingga 47 tahun itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada pukul 8 malam.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pemeriksaan di dalam rumah yang disewa suspek itu menemukan empat peket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin dan methamphetamine masing-masing seberat 4.21 gram dan 3.12 gram.

Katanya, turut ditemukan di dalam rumah tersebut ialah 13 bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 21,863 gram.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas itu dianggarkan berjumlah RM787,527.35.

“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan dua buah kereta dan sebuah motosikal dengan nilai rampasan berjumlah RM26,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

Katanya, suspek utama berusia 47 tahun memiliki 23 rekod kesalahan lampau di mana 18 daripadanya adalah bersabit kes dadah.

“Berdasarkan siasatan, kumpulan penjenayah ini aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah sejak September lalu dan dadah yang dirampas itu disyaki diedarkan untuk pasaran tempatan dan di sekitar Perak.

“Bekalan dadah itu juga dipercayai diperoleh dari sekitar negeri atau mungkin dibawa masuk melalui jalan terbuka sama ada darat atau laut. Bagaimanapun, siasatan lanjut berkaitan sindiket ini sedang dijalankan,” katanya.

Tambah beliau, dianggarkan jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 218,664 orang penagih dadah.

“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya