Lelaki maut kereta terjunam dalam sungai - Utusan Malaysia

Lelaki maut kereta terjunam dalam sungai

KERETA Proton Wira yang terjunam dinaikkan menggunakan trak penunda dari Sungai Santap di Pokok Sena. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA: Seorang lelaki dipercayai mati lemas selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Santap di Kampung Baru Telaga Mas, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 10.25 pagi itu, mangsa, Muhammad Noor Fadzli Mustapa, 25, ditemukan sudah tidak bernyawa di dalam kereta jenis Proton Wira dinaikinya.

Sementara itu, seorang wanita dipercayai isteri mangsa yang sedang sarat hamil pergi ke lokasi yang tidak jauh dari kediaman mereka sebaik mengetahui kejadian tersebut. Dia kemudian pengsan dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk rawatan.

Menurut penduduk, Muhammad Subhi Mohd. Shukor, 30, dia mendapat panggilan mengenai kejadian daripada orang kampung kira-kira pukul 10.27 pagi dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Kereta itu dikatakan terbabas ke kiri seterusnya ke kanan jalan sebelum terjunam ke dalam sungai. Isteri mangsa yang sarat hamil juga berada di lokasi kejadian.

“Mangsa berjaya dinaikkan, namun disahkan telah meninggal dunia. Isterinya pengsan dan dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Katanya, difahamkan kejadian itu disaksikan abang ipar mangsa yang memandu kereta lain di belakang mangsa.

Tambahnya, suasana menjadi sayu apabila isteri mangsa menangis dan memberitahu dia mahu melihat mayat suaminya itu.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Abd Fataf Hamdan memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 10.25 pagi tadi.

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, Alor Setar dan Jitra dikejarkan ke lokasi untuk bantu mengeluarkan mangsa. Mangsa berjaya dikeluarkan dari dalam kereta kira-kira setengah jam kemudian.

“Kereta mangsa kemudian ditarik keluar menggunakan trak penunda. Kedalaman sungai kira-kira lima meter,” ujarnya.

Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Jabatan Forensik HSB untuk proses bedah siasat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya