RANTAU PANJANG: Cubaan seorang lelaki menyeludup selipar dan kasut pelbagai jenama dari Thailand pada waktu tengah malam, dipatahkan oleh anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA).
Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan bersama kenderaan pelbagai guna (MPV) pada pukul 12.30 tengah malam selepas sepasukan anggota yang melakukan rondaan rutin Op Taring Wawasan Kelantan menyerbu pangkalan haram Pok Dir, di sini.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, hasil pemeriksaan ke atas MPV itu menemukan 710 pasang selipar dan 196 pasang kasut dipercayai diseludup dari Thailand.
Menurutnya, rampasan dianggarkan bernilai RM55,100.
“Suspek 29 tahun dipercayai bertindak sebagai penghantar untuk menyeludup barang tersebut ke pasaran tempatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. Suspek dan barangan rampasan dibawa ke kompeni taktikal (Komtak) Jeram Perdah untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, PGA akan terus mempergiatkan usaha mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.-UTUSAN