Lelaki dakwa seperti dipukau ketika ceroboh rumah ADUN - Utusan Malaysia

Lelaki dakwa seperti dipukau ketika ceroboh rumah ADUN

MOHD Khairol Anuar Nordin (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Pantai Remis hari ini. - UTUSAN/ SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERUAS: Seorang buruh dihukum penjara tiga minggu oleh Mahkamah Majistret Pantai Remis dekat sini, selepas mengaku salah menceroboh kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu, Azman Noh.

Majistret Nurul Izalina Rajaai memerintahkan Mohd. Khairol Anuar Nordin, 36, menjalani hukuman itu daripada tarikh dia ditangkap pada 12 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa menceroboh kediaman Azman, 57, di Kampung Bakar Bata, Ayer Tawar, dekat sini dengan niat melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang tanpa kebenaran pemiliknya, kira-kira pukul 10 malam pada 12 Oktober lalu.

Dia dituduh di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika ditanya oleh Nurul Izalina kenapa dia menceroboh rumah tersebut, Mohd. Khairol Anuar berkata: “Saya tidak ingat, macam kena pukau.”

Ditanya pula siapa yang melakukan pukau tersebut, dia menjawab tidak tahu siapa yang melakukannya.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Hairol Jemain manakala tertuduh diwakili oleh Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), A. Sive Ganesh.

Terdahulu, dalam rayuannya, Mohd. Khairol Anuar yang masih bujang menyatakan bekerja di kebun sawit milik keluarganya dengan gaji kira-kira RM1,000 sebulan.

Dia yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) kerana memiliki kecacatan di kaki kanan turut menjaga kedua ibu bapanya.

Nurul Izalina menasihatkan tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut kerana bukan sahaja boleh didakwa menerusi pertuduhan jenayah tetapi juga pemilik rumah boleh mengambil tindakan saman terhadapnya.

“Walau berada dalam keadaan dipukau atau menjadi OKU, itu bukan alasan untuk membenarkan kamu melakukan kesalahan dan menceroboh mana-mana rumah.

“Kalau nanti kamu menceroboh rumah yang pemiliknya ada memelihara anjing dan ‘dikokaknya’ (digigit) kamu, nanti kamu juga yang bermasalah,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya