SHAH ALAM: Tindakan seorang lelaki cuba membawa masuk seekor anjing dipercayai peliharaannya ke dalam sebuah pusat beli belah terkenal di bandar raya ini tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu.
Menerusi pemerhatian terhadap video tular dalam media sosial TikTok itu, berlaku pertengkaran antara lelaki terbabit dengan pengawal bertugas yang cuba menghalangnya daripada masuk ke Kompleks Plaza PKNS dengan membawa haiwan tersebut.
Malah, lelaki berkenaan juga dikatakan cuba membawa anjingnya masuk melalui lobi utama sambil menghisap rokok dan keadaannya itu diperhatikan orang ramai yang terkejut melihat insiden tersebut ketika berada sana.
Situasi itu kemudian mengundang kecaman dalam kalangan pengguna dalam media sosial yang mendakwa tindakan lelaki itu sebagai melampau dan sengaja melakukan provokasi walaupun larangan membawa haiwan peliharaan dinyatakan di pintu masuk premis.
“Dia dalam usaha mencabar undang-undang negara,” komen Adizzj@y.
“Mula-mula sudah letak di luar, kemudian berlari ambil anjingnya bawa masuk, mesti ada cerita besti,” kata Mohd Shaari Tahir.
“Kenapalah degil sangat. Janganlah ikut kepala sendiri, nanti orang lain pun ikut kepala sendiri, kamu pun susah. Aku bela lembu sebagai haiwan peliharaan, mahu ke aku bawa lembu masuk pejabat kerajaan?,” soal Aji.
Malah, tidak kurang juga pengguna media sosial beranggapan tindakan dilakukan lelaki itu sebagai salah satu bentuk provokasi bersifat perkauman dan sengaja menyentuh isu tersebut.
“Kita boleh hormat tatatertib tempat mereka, kenapa harus mereka bersikap macam itu,” tegas Kondem22.
“Cubaan demi cubaan untuk mencabar kewibawaan agama dan bangsa,” ujar Yuznor.
“Mereka mula buat hal yang sengaja menimbulkan ketidakselesaan,” dakwa Mohd. Zukri Mohamad.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim ketika dihubungi memberitahu akan memanggil pengawal keselamatan premis berkenaan untuk dirakam percakapan dan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian. – UTUSAN