TELUK INTAN: Seorang duda dijatuhi hukuman penjara 22 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan iaitu mencederakan dua individu termasuk teman wanitanya dan melakukan khianat pada Mei lalu.
Tertuduh, Mohamad Nazreen Sharani, 30, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah bagi ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu yang juga bekas banduan didapati telah melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan cermin hadapan kereta Proton Satria 1.3 GLI milik Muhammad Yang Nazrin Mohd. Ramli, 32, hingga menyebabkan kerugian sebanyak RM1,000.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan itu di Kampung Changkat Petai, Langkap di daerah Hilir Perak pada pukul 3 petang, 2 Mei 2024.
Kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi dua pertuduhan mendatangkan kecederaan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas Noor Hazura Kofli, 26, dan bersama dua lagi rakan yang masih bebas melakukan perbuatan sama terhadap Muhammad Yang Nazrin.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Ainaa Liyana Mohd. Talal manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Francis Sinnapan.
Francis dalam mitigasinya memohon agar tertuduh yang bekerja kampung itu dikenakan hukuman penjara minimum dan berjalan serentak dari tarikh tangkap.
Naidatul Athirah kemudiannya memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara setahun bagi pertuduhan khianat dan lima bulan masing-masing bagi dua pertuduhan mendatangkan kecederaan.
Ketiga-tiga hukuman berjalan serentak dari tarikh jatuh hukuman bermula hari ini.
Berdasarkan fakta kes, Noor Hazura mengalami kecederaan tisu lembut akibat ditampar dan ditumbuk oleh suspek di bahagian muka selain diketuk di kepala menggunakan tongkat.
Dalam kejadian itu, tertuduh bersama dua lagi rakan yang masih bebas didakwa menumbuk dan menendang Muhammad Yang Nazrin di bahagian badan selain menyebabkan kereta milik lelaki itu pecah cermin hadapan. – UTUSAN