Lelaki berkeliaran bawa parang adalah mangsa kemalangan

Lelaki berkeliaran bawa parang adalah mangsa kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Lelaki yang tular kerana mengalami kecederaan di bahagian muka dan didapati berkeliaran sambil memegang parang di kawasan Bertam di sini adalah pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan pada 6 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd. Rahman berkata, terdahulu, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada seorang wanita kira-kira pukul 4.17 petang, hari kejadian.

“Suspek telah menyerah diri pada hari yang sama dan berdasarkan siasatan awal, suspek didapati terlibat dalam kemalangan semasa dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah menuju ke Subang, Selangor dengan menaiki sebuah kenderaan.

“Suspek telah melanggar dua buah kenderaan sehingga menyebabkan kenderaannya terbabas ke dalam longkang lalu bertindak melarikan diri ke kawasan Bertam sambil membawa sebilah parang yang diambil dari kenderaannya.

“Ia susulan suspek bimbang dipersalahkan menjadi penyebab punca kemalangan tersebut dan didapati kejadian itu bersangkut satu laporan polis kemalangan di Kilometer 120, Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Hakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 iaitu membawa senjata berbahaya di tempat awam dan siasatan lanjut masih dijalankan ketika ini.

“Sehubungan itu, polis menyeru agar orang ramai tidak mensensasikan kes ini sehingga mengganggu ketenteraman awam dan pihak yang sedang menjalankan siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat juga boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Irwan Shah Sumardi di talian 04-5762222 (sambungan 227) atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya