PUTRAJAYA: Debaran musim haji tahun depan mula dirasai apabila lebih 30,000 orang hadir bagi menyertai Kursus Asas Haji 1446H yang bermula secara berperingkat Jumaat lalu.
Sejumlah 214 buah masjid di seluruh negara terpilih untuk pelaksanaan sebanyak 13 siri kursus tersebut yang diadakan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sehingga Januari depan.
Jumlah berkenaan meningkat berbanding 206 lokasi pada musim 1445H yang kelaziman mula berlangsung pertengahan bulan Rabiul Akhir berdasarkan takwim Hijri setiap tahun.
Di Putrajaya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini sekali lagi menjadi tempat kursus itu dengan hampir 150 orang mengikuti Bab Pertama iaitu Sejarah serta Pengenalan Tanah Suci Mekah dan Madinah.
Sementara itu, Selangor buat julung kalinya merekodkan bilangan premis kursus ini paling banyak dengan 33 buah diikuti Johor, 30 lokasi, selain Perak (25), Kedah (19), Pahang (14), Terengganu (13), Kelantan (12), Negeri Sembilan (10), Sarawak (10), Sabah (sembilan) dan Melaka (lapan).
Pulau Pinang dengan tujuh lokasi dan Perlis pula ada empat tempat manakala Wilayah Persekutuan masing-masing tujuh di Kuala Lumpur, dua di Putrajaya dan satu di Labuan.
Kebiasaannya bakal jemaah menerima surat tawaran haji seawal bulan Rejab serta perlu mengikuti Kursus Intensif Haji sekitar Syaaban dan Kursus Perdana Haji pada Syawal.
Penerbangan kumpulan pertama secara kelazimannya dijadualkan pada 1 Zulkaedah untuk musim 1446H yang dijangka jatuh pada 28 April 2025, manakala hari ukuf di Arafah pula kemungkinan pada 6 Jun 2025 tertakluk kepada pengisytiharan rasmi Kerajaan Arab Saudi. – UTUSAN