Lebih 300 berhimpun kibar Jalur Gemilang di Menara Condong - Utusan Malaysia

Lebih 300 berhimpun kibar Jalur Gemilang di Menara Condong

PESERTA mengibar Jalur Gemilang di Menara Teluk Intan hari ini susulan insiden tular kumpulan mengibar bendera negara China di hadapan bangunan warisan itu, kelmarin. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Lebih 300 peserta berhimpun di pekarangan Menara Condong di sini selepas tular kes mengibar bendera negara China di hadapan bangunan warisan itu, kelmarin.

Rata-rata peserta yang hadir membawa bendera Jalur Gemilang dan membanjiri tapak ikon pelancongan negeri Perak itu sejak pukul 5 petang.

Pada himpunan tersebut, mereka turut menyanyikan lagu patriotik Negaraku, Jalur Gemilang, Saya Anak Malaysia dan Negaraku nyanyian Faizal Tahir.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria turut hadir menyertai peserta sebagai tanda sokongan terhadap usaha orang ramai.

Sementara itu, seorang peserta, Roslan Omar, 42, berkata, dia datang ke himpunan itu bersama rakan dari Seberang Perak dan Kampung Gajah bagi menunjukkan perasaan cinta kepada negara.

“Saya dapat tahu tentang rancangan berkumpul di sini daripada Facebook. Kedatangan kami ini sebagai tanda bahawa ini negara kita, bukan China. Kalau tidak turun, maknanya kita tak menyatakan jati diri kita,” katanya.

Bagi peniaga yang dikenali sebagai Roslina, 57, dia menyaksikan sendiri perarakan mengibarkan bendera China itu dan merasakan ia sebagai kejadian yang tidak wajar.

“Masa kejadian saya ada sebab berniaga di sini tapi ketika itu, kita tengok saja. Cuma di hati ada rasa pelik kenapa kibarkan bendera negara asing pula. Jadi saya hadir di sini hari ini untuk tunjukkan rasa cinta kepada negara,” ujarnya.

Acara yang berlangsung selama lebih sejam itu kemudiannya diakhiri dengan bacaan doa Wehdah dan Qunut Nazilah.

Anggota polis dan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dilihat berada di lokasi kejadian sejak awal bagi kawalan keselamatan dan lalu lintas. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN