Lebih 10,000 meriahkan Larian Ria Madani, Berjalan Untuk Negara

HSN 2024: Lebih 10,000 meriahkan Larian Ria Madani, Berjalan Untuk Negara

HANNAH Yeoh bergambar bersama Persatuan Anak Syurga Luar Biasa pada Majlis Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Dataran Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 10,000 peserta memeriahkan Larian Ria Madani dan Berjalan untuk Negara sempena Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya, di sini pagi ini.

Majlis pelepasan acara berkenaan dimulakan pukul 7.35 pagi tadi yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, barisan Ketua Setiausaha Kementerian dan pengurusan tertinggi kerajaan.

Program turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa atlet-atlet negara seperti jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang serta olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli.

Terdahulu, dalam ucapan perasmian Hannah berkata, Malaysia kini mempunyai 103 aktiviti sukan yang diwartakan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) berbanding 51 jenis sukan sebelum ini.

Katanya, mulai tahun ini, perbelanjaan yuran keahlian gimnasium, pembelian peralatan sukan dan mengikuti latihan atau kelas e-sukan, layak untuk menikmati pelepasan cukai sehingga RM1,000.

“Rakyat Malaysia boleh cari sukan yang sesuai. Tiada alasan untuk tidak bersukan. Pilih satu (sukan),” katanya.

HSN adalah sambutan sukan nasional yang diadakan secara tahunan sejak tahun 2015 yang dijadualkan pada setiap Sabtu minggu kedua bulan Oktober.

HSN berhasrat membudayakan dan merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat sukan menerusi amalan gaya hidup cergas dan sihat.

Menurut Hannah, HSN 2024 bertemakan ‘Cergas Bersama’ disambut serentak di seluruh negara dengan sasaran penyertaan keseluruhan seramai 4.5 juta orang.

Bagaimanapun, penganjuran sambutan HSN Peringkat Negeri dan Bahagian di Sarawak diselaraskan semula ke 19 Oktober ini bagi menghormati Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya