Lawatan ke Pakistan amat bermakna – Anwar

Lawatan ke Pakistan amat bermakna – Anwar

ANWAR Ibrahim diiringi Shehbaz Sharif di Pengkalan Udara Nur Khan di Islambabad, Pakistan, semalam sebelum berlepas ke Bangladesh bagi mengadakan lawatan singkat ke negara itu. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lawatan negara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pakistan membuahkan hasil yang me­rangkumi pelbagai isu dua hala demi kepentingan bersama.

Perdana Menteri juga menyifatkan kunjungan ke negara Asia Selatan itu sebagai ‘amat bermakna’ secara peribadi.

Katanya, sepanjang lawatan, beliau mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Sheh­baz Sharif dan Presiden Pakis­tan, Asif Ali Zardari selain tokoh industri yang membuahkan ha­sil merangkumi pelbagai isu dua hala demi kepentingan bersama.

“Ini jelas membuktikan ke­sungguhan kepemimpinan ter­tinggi untuk meningkatkan hu­bungan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi sementela­han terdapat potensi besar dalam hubungan perdagangan yang boleh dipelopori.

“Pastinya akan ada pe­ning­katan kerjasama dalam semua bidang perdagangan dan teknologi pertanian termasuk berkaitan daging, beras dan import minyak kelapa sawit oleh Pakistan, malah kedua-dua negara akan turut memperluas kerjasama dalam sektor pekerja mahir menerusi bidang kritikal seperti kecerdasan buatan (AI), digital dan semikonduktor.

“Moga hubungan Malaysia-Pakistan terus berkembang maju di masa hadapan, insya-Allah,” tulis Anwar dalam hantaran Facebook beliau, semalam.

Perdana Menteri mengakhiri lawatan kerja selama tiga hari di Pakistan sejak Rabu lalu.

Kelmarin, Anwar diberi sam­butan rasmi di Kediaman Perdana Menteri Pakistan disusuli dengan mesyuarat dua hala, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan pelancaran tiga karya terjemahan oleh penyair terkemuka Pakistan Allama Muhammad Iqbal, yang diterjemahkan daripada bahasa Parsi, Urdu dan Inggeris ke bahasa Melayu.

Beliau juga dikurniakan anu­gerah awam tertinggi Pakistan, Nishan-e-Pakistan oleh Presi­den negara itu dalam satu majlis di Istana Presiden, Aiwan-e-Sadr.

Anugerah itu merupakan pengiktirafan tertinggi daripada kerajaan Pakistan atas kepe­mim­pinan Anwar dalam menggalakkan dan meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Pakistan.

Selain itu, beliau dianuge­rahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan (NUST) Pakistan sebagai pengiktirafan­nya terhadap peranan pemimpin Islam peringkat antarabangsa.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan tokoh industri Pakistan menerusi Dialog Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia-Pakistan yang berlangsung di Islamabad.

Perdana Menteri berkata, pertemuan berkenaan yang juga disertai Shehbaz Sharif memberi peluang atas keakraban hubungan kedua-dua negara bagi meneliti serta menerokai kerjasama baharu seperti industri halal dan beras.

“Sebanyak 67 syarikat dan tujuh persatuan perniagaan Pakistan dan Malaysia menyertai sesi meja bulat ini dan sekalung penghargaan dizahirkan di atas komitmen berterusan semua pihak yang telah menjayakannya,” katanya.

Anwar kemudian berlepas ke Bangladesh bagi mengadakan lawatan singkat ke negara itu dan beliau dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Ketua Penasihat Kerajaan Inte­rim Bangladesh, Prof. Muhammad Yunus di Dhaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya