PETALING JAYA: Jabatan Pembangunan Pelajar dan Kerjaya (SCD) Management and Science University (MSU) menganjurkan International Songket Run 4.0 pada 19 Oktober ini sebagai usaha untuk memelihara budaya seni tenun songket.
MSU dalam satu kenyataan memaklumakn, acara larian santai itu bertujuan memberikan pendedahan kepada komuniti berkenaan kepentingan menghargai warisan songket sama ada dari aspek busana, kraftangan dan kebudayaan.
Katanya, ia terutama kepada warga MSU termasuk komuniti setempat serta melibatkan penyertaan seisi keluarga dari pelbagai peringkat usia.
“Para peserta bakal melalui jarak larian sejauh lima kilometer dan 10 kilometer sekitar Seksyen 13, Shah Alam dengan permulaan dan penamatan larian di kampus MSU dengan sasaran penyertaan 6,000 peserta.
“Terdapat pelbagai aktiviti menarik lain turut diadakan seperti cabutan bertuah, aktiviti zumba, serta pelbagai kategori khas penyertaan,” katanya.
Jelas MSU, edisi kali keempat larian bakal disempurnakan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin selaku penaung International Songket Run 4.0.
Penganjuran edisi pertama International Songket Run adalah pada 2018 diikuti dengan edisi kedua pada 2019 serta edisi ketiga pada 2023.
Edisi kedua larian telah mencipta sejarah tersendiri apabila mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBR) melalui rekod “The Largest Participation In A Songket Running Event, 2019 (4,868 peserta)” dan “The Largest Number of People Wearing or Having Songket Elements As Part of Their Dressing, 2018 (4,878 peserta). – UTUSAN