Larian pakaian songsang: Semua pihak diminta hormat sensitiviti Islam

Larian pakaian songsang: Semua pihak diminta hormat sensitiviti Islam

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua pihak diseru sentiasa menghormati serta memahami sensitiviti umat Islam khususnya dalam aspek ketetapan hukum dan nilai-nilai fitrah insan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, dalam konteks ini, apa-apa acara yang boleh mencetuskan polemik serta menggugat kedaulatan agama Islam perlu dielakkan sama sekali.

“Semua pihak diseru agar memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk mengendalikan isu ini (pelancong berpakaian songsang ketika larian di Johor).

“Perpaduan serta keharmonian perlu sentiasa dipelihara demi kemakmuran negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di laman media sosial beberapa keping gambar yang memaparkan peserta acara larian di Johor berpakaian tidak senonoh termasuk dilihat turut mempromosikan budaya songsang lesbian, gay, biseksual serta transgender (LGBT).

Susulan isu itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, pihaknya tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran kepada mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di negeri berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang menganjurkan acara hingga menggugat keharmonian dan kedaulatan Islam serta menjatuhkan imej Johor secara keseluruhan.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, pihaknya juga mengambil maklum kenyataan dijelaskan Onn Hafiz yang menyatakan acara larian tersebut tidak dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Johor mahupun mana-mana agensi kerajaan negeri.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh ketegasan Kerajaan Negeri Johor yang meminta siasatan dijalankan oleh polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri dilaporkan memohon pihak berkuasa menyiasat program itu dengan difahamkan acara asal merupakan Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 yang dianjurkan sebuah persatuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN