Larangan pamer produk rokok tergesa-gesa - FSGMAM

Larangan pamer produk rokok tergesa-gesa – FSGMAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Persatuan-Persatuan Peniaga-Peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) menyifatkan larangan mempamerkan semua produk tembakau dan vape di premis peruncitan terlalu drastik dan tergesa-gesa tanpa rundingan dengan peruncit mengenai tempoh pematuhan.

Ini kerana peruncit perlu menanggung kos yang besar untuk mematuhi larangan tersebut yang ditetapkan dalam tempoh enam bulan.

Presiden FSGMAM, Hong Chee Meng berkata, puluhan ribu peruncit kecil dijangka perlu mematuhi peraturan itu menjelang 1 April tahun depan dengan masing-masing dianggar perlu mengeluarkan kos RM6,000.

Menurut beliau, kerajaan tidak mempertimbangkan kekangan dihadapi peruncit terutama dalam kalangan peruncit  kecil  untuk mematuhi peraturan tersebut.

“Setiap kedai perlu menggunakan kos dalam jumlah yang besar untuk membuat pengubahsuaian fizikal bagi menyembunyikan produk-produk ini daripada pelanggan tetapi pada masa sama kerajaan tidak menawarkan bantuan kewangan atau pelaksanaan secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan sebelum ini menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu.

Berdasarkan akta itu, terdapat beberapa peruntukan berkaitan penjualan produk rokok berbentuk permainan dan menarik perhatian golongan kanak-kanak dan remaja yang bertujuan mengekang kebolehdapatannya.

Selain itu, ia melibatkan peruntukan berkaitan pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok serta tempat larangan penjualan produk rokok seperti di institusi pendidikan, pasar jualan, dalam talian dan mesin layan diri.

Mengulas lanjut,  Chee Meng berkata, kos yang besar diperlukan untuk mula membuat pengubahsuaian rak produk di kedai-kedai dan pada masa sama peruncit masih menghadapi  situasi yang sukar dalam keadaan ekonomi semasa.

“Bagi mematuhi arahan tersebut, setiap peruncit mungkin perlu  menanggung kos sehingga RM6,000 dan ia memberikan tekanan kewangan yang besar kepada perniagaan kecil.

“Secara keseluruhan, kos ini boleh mencecah hampir RM300 juta untuk pelaksanaan di seluruh negara menjelang 1 April 2025.

“Pada masa ini, kerajaan meminta kami untuk mematuhi dalam tempoh yang sangat singkat dan kami perlu menanggung kos tanpa sebarang bantuan,” katanya.

Kata beliau, FSGMAM juga sangat khuatir dengan kesan larangan pameran yang akan menggalakkan peningkatan produk rokok dan vape haram kerana produk yang sah akan tersembunyi daripada dilihat pelanggan.

Katanya, pasaran haram yang sudah menjadi isu serius di Malaysia mungkin akan mengalami lonjakan yang tinggi sekali gus memberikan kesan kepada perniagaan yang sah.

“Dengan memaksa produk sah disembunyikan daripada pandangan secara runcit, kerajaan membuka pintu untuk produk seludup. Ia akan menjadi lebih sukar untuk mengesan kerana produk sah dan seludup sama-sama tidak dapat dilihat.

Justeru, katanya, FSGMAM juga menggesa kerajaan  bekerjasama dengan peruncit bagi membangunkan pendekatan yang seimbang dan pragmatik yang mencapai matlamat kesihatan awam tanpa memberi kesan kepada sektor peruncitan.

”Kerajaan tidak boleh mengenakan polisi tanpa mempertimbangkan kesan ekonomi yang lebih luas, terutamanya kepada peruncit kecil.

“Kami menyeru Kementerian Kesihatan untuk menghentikan pelaksanaan dasar ini sehingga kerangka sokongan yang jelas disediakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya