PUTRAJAYA: Setiap pemaju hartanah di ibu negara kini diwajibkan mengemukakan laporan penuh kajian geoteknikal sebelum diberikan kebenaran merancang.
Malahan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, perkara itu telah dikuatkuasakan baru-baru ini dan tidak terhad lokasi bercerun, dan ia merangkumi kawasan tanah lapang rata.
Kata beliau syarat baharu itu sudah ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta-merta bagi pelan pembangunan Kuala Lumpur.
“Kita hendak memastikan semua pemaju ada serah laporan kajian geoteknikal serta turut mematuhi pelbagai syarat ketat lain untuk elak risiko kes lubang benam berlaku,” katanya kepada pemberita selepas hadir menyampaikan sijil penghargaan kepada 10 penyumbang cukai tanah terbesar di Putrajaya pada Majlis Apresiasi Pejabat Tanah dan Galian Putrajaya di sini hari ini.
Dua bulan lalu, beliau mengumumkan kajian semula polisi perancangan ibu kota susulan insiden tragik seorang maut akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India pada 23 Ogos lepas.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif pada 1 September lalu turut mengumumkan permohonan kebenaran merancang perlu ada juga laporan tersebut.
Difahamkan, sebelum ini laporan sedemikian pernah dicadangkan wajib disediakan untuk pembangunan kawasan kecerunan lebih 25 darjah dan ketinggian tegak 10 meter ke atas susulan pindaan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang disyorkan perlu ada laporan geoteknikal pemeriksa bertauliah berdaftar Lembaga Jurutera Malaysia.
Sementara itu, Zaliha juga memaklumkan bahawa Kajian Geoteknikal Struktur Lapisan Tanah di sekitar Segi Tiga Emas Kuala Lumpur akan dilaksanakan sepanjang tahun depan. – UTUSAN