Lapan barangan kawalan sempena Deepavali

Lapan barangan kawalan sempena Deepavali

ARMIZAN Mohd. Ali (tiga dari kiri) membuat tinjauan harga barangan keperluan yang terlibat di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 di Sam’s Groceria, KL Sentral hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenal pasti lapan jenis barang yang akan dikawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali mulai 28 Oktober hingga 3 November ini.

Antara barangan yang terlibat adalah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil (India), bawang merah besar import dan kacang dal (Australia).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pelaksanaan SHMMP Deepavali akan berlangsung tujuh hari iaitu tiga hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tiga hari selepas perayaan.

Katanya, senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca dan kadar upah.

“Penentuan harga dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada rakan strategik KPDN iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi kerajaan dan pemain-pemain industri.

“Kementerian sentiasa menjalinkan kerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan Skim,” katanya dalam sidang akhbar di KL Sentral di sini, hari ini,.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, skim terbabit akan dikuatkuasakan menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat. 

Katanya, harga maksimum yang ditetapkan untuk SHMMP Deepavali 2024 di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan ditugaskan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan untuk melindungi pengguna daripada peniaga  yang tidak beretika.

“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya,” katanya.

Tambah Armizan, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN