Langkah KPKT perkukuh integriti dalam PBT dialu-alu  SPRM

Langkah KPKT perkukuh integriti dalam PBT dialu-alu SPRM

TAN SRI AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memasukkan elemen antirasuah dalam sistem penilaian Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bermula tahun ini disambut baik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, langkah ini penting untuk memperkukuh integriti, tadbir urus dan tatakelola demi merealisasikan sistem perkhidmatan awam yang cekap, bersih dan berkesan.

Sehubungan itu, kata beliau, SPRM bersedia memberi sokongan dari segi khidmat nasihat dan latihan bagi memastikan penubuhan Unit Integriti di setiap 156 PBT di seluruh negara.

Ia selaras dengan keperluan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian 1.2.1: Penubuhan Unit Integriti (UI) di semua Sektor Awam seperti yang disarankan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).  

“Setakat ini, hanya 49 PBT  menubuhkan Unit Integriti masing-masing.

“SPRM menggesa penubuhan Unit Integriti di setiap PBT diberikan keutamaan. Unit ini penting untuk membendung salah laku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika di peringkat agensi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azam berkata, bagi tujuan tersebut Unit Integriti perlu melaksanakan enam Fungsi Teras UI dengan berkesan iaitu Tadbir Urus; Pengukuhan Integriti; Pengesanan dan Pengesahan; Pengurusan Aduan; Pematuhan; dan Tatatertib.

Kata beliau, dalam hal ini, Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) SPRM akan membantu menyelaras pelaksanaan fungsi UI selain  menyediakan dasar dan mekanisme pengurusan UI bagi agensi-agensi awam.  

“Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), sebuah institusi bertaraf antarabangsa di bawah SPRM turut memainkan peranan penting dalam menyediakan program latihan berkaitan pencegahan rasuah dan integriti.

“SPRM mengalu-alukan kerjasama dan kolaborasi berterusan daripada agensi-agensi awam untuk melaksanakan inisiatif yang digariskan dalam NACS,” jelasnya.

Azam berkata, melalui usaha ini, kita dapat memperkukuh imej negara dan merealisasikan aspirasi bersama untuk memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Pada 26 Oktober lalu, media melaporkan sebanyak 12 PBT telah mengalami penurunan taraf dalam Sistem Penarafan Bintang (SPB-PBT) selepas elemen antirasuah dimasukkan dalam sistem penilaian tersebut dan SPRM yakin inisiatif ini akan mempertingkatkan ketelusan dalam prestasi PBT.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya