PETALING JAYA: Gagal memenuhi syarat yang dipersetujui oleh penganjur membuatkan penyanyi, Stacy, menarik diri daripada terlibat dalam konsert A Night With Sumandak Stars yang dijadualkan bulan hadapan.
Stacy atau Ummu Syaikhah Stacy Anam, 34, menjelaskan keputusan itu dibuat demi menjaga kepentingan kerjaya dan pelanggan yang sudah dirancang lebih awal.
“Pada asalnya nama konsert ini Bella and Friends, dan saya sudah tolak memandangkan saya sudah mempunyai perancangan kerjaya sendiri.
“Kemudian nama konsert ini ditukar kepada Sumandak untuk mengumpulkan penyanyi asal Sabah dalam satu konsert. Saya faham niat Bella itu.
“Ada beberapa syarat saya tetapkan kerana saya juga mempunyai pelanggan yang perlu dijaga. Poster konsert juga adalah salah satu daripadanya,” jelas Stacy ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, penyanyi Pelangi Senja itu terkilan melihat hasil poster konsert yang diedarkan kepada umum bertentangan daripada yang dibincangkan.
“Saya ada rasa terkilan sedikit bila mengetahui ada draf pertama poster berkenaan. Adakah ia disengajakan? Tapi saya tidak boleh komen lebih kerana enggan berfikir buruk.
“Cuma apa yang dibincangkan tidak sama seperti dihasilkan. Lagipula antara saya dan pihak tersebut belum ada sebarang kontrak yang ditandatangani.
“Jadi saya masih ada masa untuk berfikir dan tarik diri daripada projek ini. Saya harap semua faham mengapa saya ambil keputusan ini.
“Bukan sebab poster sahaja, tapi juga ada syarat lain yang perlu dijaga untuk karier saya,” tambahnya.
Terdahulu, syarikat pengurusan Stacy, Rhyme & Rhythm Music Entertainment, memaklumkan artisnya menarik diri daripada terlibat daripada konsert kerana sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Kami dari pihak pengurusan dengan rendah hati ingin memaklumkan bahawa Stacy tidak akan terlibat dalam Konsert Sumandak Stars atas sebab-sebab tertentu,” tulis kenyataan itu.
Sebelum ini, media melaporkan konsert A Night With Sumandak Stars yang menghimpunkan artis kelahiran Sabah bakal diadakan di Zepp KL pada 30 November hadapan.
Senarai artis asal yang sepatutnya menjayakan konsert itu ialah Bella Astillah, Milan, Adira Suhaimi, Stacy Anam, Nikky Palikat, Wani Kayrie dan Didi Astillah. -UTUSAN