Laksana GST sekarang umpama mimpi ngeri pada rakyat

Laksana GST sekarang umpama mimpi ngeri pada rakyat

PENGGUNA bimbang GST akan diperkenalkan semula pada Belanjawan 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan untuk melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) ketika ambang gaji minimum meningkat kepada RM3,000 hingga RM4,000 adalah langkah tepat untuk mengawal kenaikan kos sara hidup disebabkan cukai tersebut.

Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, GST merupakan sistem percukaian yang dikenakan kerajaan terhadap penjual atau pengeluar barangan dan perkhidmatan yang mempunyai pendapatan melebihi jumlah ambang mahu pun lantai ditetapkan.

Katanya, GST boleh dilaksanakan jika kerajaan berpendapat bahawa kebanyakan pengeluar atau penjual di Malaysia telah mencapai pendapatan melebihi jumlah lantai ditetapkan.

“Bagaimanapun, jika GST dilaksanakan, ia akan memberi beban dan tekanan kepada pembeli kerana cukai dikenakan kepada pengeluar atau penjual akan cuba dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga dan perkhidmatan diberikan.

“Jadi, dengan kadar gaji minimum ketika ini adalah RM1,500 maka sudah semestinya ia akan memberi kesan besar dan berat kepada pengguna kerana merekalah yang terpaksa menanggung beban pelaksanaan GST tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pelaksanaan GST kepada semua sektor umpama satu mimpi ngeri kepada pengguna kerana ia akan diterjemahkan kepada peningkatan kos sara hidup.

Katanya lagi, pelaksanaan GST akan meliputi hampir semua sektor sekali gus memberi kesan kepada kenaikan harga barang di pasaran.

“Kenaikan akan meliputi barangan keperluan dan juga barangan keperluan normal seperti alat telekomunikasi, pakaian, peralatan rumah, barangan elektronik dan lain-lain. 

“Sebagai contoh, jika GST dilaksanakan maka harga gajet telekomunikasi atau elektronik akan menjadi lebih mahal kerana telah dikenakan cukai tambahan, maka harga jualan juga akan meningkat. Bagi golongan berpendapatan rendah atau dengan gaji minimum, ini adalah satu mimpi ngeri untuk mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Bashir Ahmad berkata, kerajaan masih boleh menambah baik pelaksanaan GST yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu dengan mengenakan cukai tersebut kepada sektor tertentu yang mampu memberi pulangan lebih baik.

“Sebagai contoh, sektor semikonduktor, pembinaan, automotif dan barangan mewah. Pada masa sama, kadar minimum di peringkat awal boleh ditetapkan pada tiga peratus berbanding enam peratus sebelum ini.

“Kadar sistem percukaian progresif ini boleh dinaikkan mengikut kesesuaian ekonomi semasa negara dan kekuatan pendapatan rakyat bagi mengelakkan tekanan terhadap inflasi yang mungkin tercetus,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata, kerajaan hanya akan melaksanakan GST sekiranya ambang gaji minimum meningkat kepada RM3,000 hingga RM4,000.

Walaupun mengakui bahawa sistem cukai itu cekap dan telus, beliau berkata, GST juga akan membantu mengembangkan dana kerajaan dengan kutipan hasil yang lebih tinggi.

Namun begitu, beliau percaya golongan miskin tidak seharusnya dibebani dengan sistem cukai sedemikian.

“Saya bersetuju, GST adalah sistem cukai yang paling telus dan cekap tetapi pandangan saya adalah beri sedikit masa, beberapa tahun, (kita mesti) pastikan ambang gaji meningkat kepada minimum RM3,000 hingga RM4,000, kemudian barulah kita boleh selaraskan dasar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya