PETALING JAYA: Kutipan hasil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yakin dijangka melebihi sasaran RM56 billion tahun ini dijangka memberi impak positif terhadap pengurangan defisit belanjawan negara.
Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, sumber kutipan tersebut boleh mengurangkan defisit perbelanjaan yang telah lama berlarutan.
Menurut beliau, hal ini seiring dengan hasrat kerajaan untuk menurunkan bajet defisit kepada 4.3 peratus pada tahun ini dan 3.2 peratus pada tahun hadapan.
“Pungutan hasil ini amat penting kerana ia akan digunakan kembali dalam peruntukan belanjawan negara bagi tujuan pengoperasian dan pembangunan negara tahun hadapan.
“Sama seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menyasarkan kutipan RM197 bilion tahun ini berbanding RM183 bilion tahun lalu, hasil pungutan ini akan membantu mengurangkan pinjaman hutang negara yang telah berlarutan sekian lama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yakin dapat melepasi sasaran kutipan hasil sebanyak RM56 billion tahun ini selepas memungut sebanyak RM48.97 billion bagi tempoh 1 Januari sehingga 30 September lalu.
Mengulas lanjut, Bashir turut menyarankan supaya hasil tersebut digunakan bagi menyokong sektor kritikal seperti pendidikan, pertanian dan tenaga yang memerlukan perbelanjaan besar bagi memenuhi permintaan domestik serta antarabangsa.
Jelasnya, penggunaan hasil yang bijak dapat membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap pinjaman luar sekali gus mengurangkan pembayaran faedah.
“Peruntukan besar diperlukan dalam belanjawan untuk sektor-sektor terbabit bagi menjamin keperluan negara terjaga dan terus berkembang selaras dengan keperluan ekonomi global,” jelasnya.
Sementara itu, Felo Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Dr. Madeline Berma berkata, hasil kutipan yang diperoleh juga harus disalurkan kepada program yang memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat.
Katanya, ekonomi penjagaan (caregiving economy) perlu diberi perhatian kerana ia dapat memperkasa masyarakat terutama menjelang Malaysia sebagai Negara Tua pada 2030.
“Ekonomi penjagaan ini bukan sahaja akan membantu meningkatkan jaringan penjagaan kesihatan yang lebih baik malah ia juga membuka peluang pekerjaan terutamanya kepada wanita yang selama ini terhalang daripada menyertai tenaga kerja.
“Peruntukan bagi Belanjawan 2025 perlu memberi tumpuan kepada sektor kesihatan, pendidikan, dan kebajikan bagi memastikan pembangunan sosial yang lebih inklusif.
“Dengan peningkatan hasil yang signifikan, kerajaan kini berada dalam kedudukan yang baik untuk mengoptimumkan perbelanjaan tanpa pembaziran sekali gus memastikan negara terus bergerak maju dalam aspek ekonomi dan kebajikan rakyat,” katanya. – UTUSANk