Kurang infrastruktur keselamatan punca kemalangan di sekolah

Kurang infrastruktur keselamatan punca kemalangan di kawasan sekolah

Kekurangan infrastruktur keselamatan jalan raya yang berkualiti termasuk papan tanda amaran menjadi antara punca utama kemalangan melibatkan murid di kawasan sekolah. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekurangan infrastruktur keselamatan jalan raya yang berkualiti termasuk papan tanda amaran menjadi antara punca utama kemalangan melibatkan murid di kawasan sekolah.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejumlah 323 kemalangan membabitkan kecederaan atau kematian dicatatkan di kawasan sekolah sepanjang tahun lalu.

Timbalan Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA),  Ts. Abd. Mutalib Abd. Gapar berkata, infrastruktur tidak mencukupi atau direka dengan buruk seperti kekurangan tempat lintasan pejalan kaki, pencahayaan tidak mencukupi atau ketiadaan isyarat lalu-lintas mengundang keadaan tidak selamat bagi pejalan kaki, terutama kanak-kanak.

“Situasi boleh diterukkan lagi dengan keadaan cuaca yang buruk, tanda jalan tidak dijaga dengan baik atau sudah pudar yang boleh mengurangkan penglihatan jelas bagi pemandu dan pejalan kaki.

“Elemen seperti lorong  tidak ditandakan dengan baik, isyarat lalu-lintas yang tidak berfungsi atau ketiadaan tanda yang menunjukkan zon sekolah boleh menyebabkan kekeliruan bagi pemandu” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) mengesyorkan supaya had laju maksimum di kawasan sekolah perlu dikurangkan kepada 30 kilometer sejam (km/j) berbanding kadar 40km/j sebelum ini.

Cadangan itu bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya bagi pengguna jalan raya yang berisiko iaitu golongan kanak-kanak terdiri daripada murid dan pelajar sekolah seterusnya mengurangkan kadar kemalangan membabitkan golongan itu.

Terdahulu, banyak laporan melibatkan pelajar dan murid-murid sekolah maut akibat terlibat dalam kemalangan di kawasan sekolah.

Pada April lalu, tiga pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kapar, Selangor kemalangan di hadapan sekolah mereka dengan dua maut dan seorang lagi kritikal.

Di Kuala Terengganu, seorang remaja lelaki putus kaki kirinya selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Budiman, di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek.

Abd. Mutalib berkata, bagi mengurangkan kadar kemalangan di kawasan sekolah, setiap sekolah perlu mempunyai papan tanda atau amaran dan sentiasa menyelenggara infrastruktur di situ supaya keselamatan murid sentiasa terjaga.

“Kemudahan seperti lintasan pejalan kaki yang ditanda dengan jelas, papan tanda lalu-lintas, papan tanda amaran yang menunjukkan zon sekolah, papan tanda amaran had laju yang ditetapkan, kamera pengesan had laju, lampu trafik dan garisan kuning amaran perlu ada di kawasan sekolah.

“Pastikan laluan pejalan kaki diterangi dengan baik dan boleh dilihat oleh pemandu, terutama pada awal pagi dan lewat petang supaya pemandu dapat mengurangkan kelajuan kenderaan,” katanya.

Beliau juga mengesyorkan kerajaan membangunkan aplikasi yang boleh mengawal serta memantau keadaan trafik di kawasan sekolah terutama pada waktu puncak.

“Dengan adanya aplikasi ini, pihak sekolah boleh mengatur kawalan trafik di sekolah dengan memberi pelepasan kepada ibu bapa dan pemandu untuk memasuki kawasan sekolah secara bergilir mengikut zon waktu yang akan dibahagikan mengikut kelas,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya