Kukuh benteng pantai hadapi air pasang besar

Kukuh benteng pantai hadapi air pasang besar

Air pasang
KEADAAN ban yang pecah hingga menyebabkan banjir pada minggu lalu dekat Batu 7, Ijok, di Kuala Selangor, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan kerja pengukuhan benteng pantai di beberapa kawasan daerah ini bagi persediaan menghadapi fenomena air pasang besar bermula Khamis ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Mohd. Raiz Radzuan berkata, pelaksanaan itu antaranya melibatkan benteng Sungai Kajang, Sungai Janggut, Pantai Remis dan Tanjong Karang.

Menurutnya kesemua lokasi itu dikenal pasti berisiko tinggi dilanda ombak kuat terutama ancaman air pasang sehingga Ahad ini.

“Justeru, JPS menjalankan pengukuhan benteng-benteng bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya limpahan air. Langkah itu juga bertujuan mengelak banjir yang berlaku di daerah ini (Ijok) dua minggu lalu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Utusan Malaysia pada Jumaat lalu melaporkan lima negeri diramal bakal berdepan air pasang besar yang mungkin mengakibatkan banjir besar di beberapa kawasan.

Fenomena itu melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak dan Selangor dan dijangka berlarutan sehingga 21 Oktober ini.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim memaklumkan bacaan paras air laut di negeri ini dijangka meningkat sehingga mencecah ketinggian 5.8 meter.

Kerajaan negeri mengambil langkah sementara dengan menyediakan beg-beg pasir khususnya di kawasan pembi­naan ban pantai di Selangor.

Dalam pada itu, Raiz yang juga Pegawai Daerah Kuala Selangor memberitahu, tiupan angin timur laut berterusan dan kencang boleh mengakibatkan laut bergelora serta ombak besar.

“Orang ramai dinasihatkan bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini oleh Jabatan Meteorologi.

“Semua ketua jabatan dan agensi terlibat juga diminta menjalankan pemantauan bagi memudahkan operasi bantuan kepada golongan terkesan,” ujarnya.

Orang ramai boleh menghubungi talian 03-32897632 atau WhatsApp Helpline Bencana Kuala Selangor di talian 011-16717100 bagi melaporkan bencana di kawasan masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya