“KAMI bukan K-pop,”
Kumpulan popular, KRU sebenarnya tidak perlu memberikan penegasan itu. Namun kerana kemunculan pendengar baharu selepas lagu Terhangat Di Pasaran yang dihasilkan sedekad lalu tular di aplikasi TikTok, nampaknya pengenalan itu wajar dibuat.
KRU yang dianggotai tiga beradik, Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim pernah mencipta gelombang baharu kepada industri muzik negara, menjadikan mereka kumpulan muzik berpengaruh di Malaysia.
Walaupun pernah mengumumkan pembubaran pada 2018, kini, selepas tujuh tahun, kumpulan ‘gergasi’ ini sudah bangun daripada lena yang panjang, mengumumkan bersedia kembali menggegarkan industri muzik dengan album ‘Kaset’.
“Sebenarnya pembubaran sebelum ini dilakukan kerana masing-masing sibuk. Kami tidak pernah ‘hilang’. Satu hari pihak Sony Music ajak makan malam dan suarakan hasrat untuk panggil kami semula.
“Selepas itu, kami berbincang sebelum setuju untuk kembali aktif. Kami rindukan perjalanan dan pengalaman untuk hasilkan sesuatu untuk peminat.
“Kemunculan semula ini bukan kerana wang atau mahu membuktikan apa-apa. Kami hanya mahu buat perkara yang kami suka tanpa menghampakan peminat. Tiada apa yang kami risaukan,” kata Edry.
KRU ditemui Utusan Malaysia dalam Majlis Menandatangani Kerjasama Sony Music dan KRU, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ditanya mengenai hala tuju muzik dan kelainan yang ingin dibawakan KRU, masing-masing tersenyum.
“Kami ada formula, jika anda pasang lagu kami, anda tahu ia milik KRU. Dengan pengaruh R&B dan Hip Hop daripada Norman, juga Pop daripada Yusry, Insya-Allah album kali ini lebih baik dengan bunyi yang lebih matang.
“Soal tenaga, kami akan menari jika itu mengembalikan nostalgia. Tapi kami tidak menari sepanjang masa kerana perlu menjaga nyanyian dan pernafasan sepanjang persembahan.
“Tapi apa yang pasti, kami tidak hanya duduk di atas pentas dan menyanyi dengan iringan band sahaja. Itu bukan KRU,” kata Yusry.
Tidak pernah meletakkan target untuk tular di TikTok, KRU mahu memberi fokus terhadap nilai karya yang bakal menemui pendengar bermula November nanti.
“Bila orang masuk karaoke, mereka mesti mahu nyanyi lagu lama kerana ada nilai seni yang didahulukan pembikin berbanding mahu menularkannya atau tidak.
“Kami tidak mengejar viral, hanya mahu memberikan karya yang tulus. Kalau diterima Alhamdulillah, jika tidak, kita hasilkan lagu lain.
“Lebih baik mempunyai satu lagu flop (tidak laku) asalkan kami suka, berbanding satu lagu hit yang kami benci. Ia menandakan kamu tidak menjadi diri sendiri,” kata Norman.