BERIKUT adalah kronologi konflik Gaza-Israel yang genap setahun hari ini:
Serangan mengejut Hamas
Pada 7 Oktober 2023, Hamas mengisytiharkan serangan terbesar dengan membedil 5,000 peluru berpandu ke Israel sebagai tindak balas terhadap pencerobohan rejim di Palestin.
Pemimpin Briged Al-Qassam, Muhammad Al-Deif menegaskan tindakan pejuang dibuat susulan sikap Israel yang tidak mengendahkan amaran, sehingga mencemar kesucian Masjid Al-Aqsa dan membunuh ratusan warga Palestin.
Serangan yang dipanggil ‘Operasi Taufan Al-Aqsa’ dilaporkan membunuh 1,200 rakyat Israel dan 250 lagi ditahan sebagai tebusan perang.
Tindak balas Israel
Susulan serangan itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengisytiharkan peperangan dengan Hamas dan mengarahkan serangan udara di Gaza, termasuk pengepungan menyeluruh terhadap wilayah yang padat penduduk itu.
Pengeboman tanpa henti Israel terhadap wilayah terkepung itu, mengakibatkan angka kematian orang awam Palestin meningkat mendadak melebihi korban Israel dalam serangan awal Hamas.
Serangan darat bermula
13 Oktober 2023, Israel memberi amaran kepada penduduk di bandar Gaza, yang dihuni lebih sejuta orang, untuk mengosongkan kawasan tersebut dan berpindah ke selatan.
Pada hari yang sama, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) memasuki Gaza dan melancarkan serbuan ketenteraan pertamanya di wilayah itu.
Letupan di hospital al-Ahli di Bandar Gaza pada 17 Oktober mencetuskan kemarahan dunia Arab, tetapi terdapat perselisihan faham dan kekeliruan mengenai dalang di sebalik serangan itu.
Pada bulan sama, Israel melancarkan serangan darat berskala besar terhadap Gaza, menandakan pemulaan pencerobohannya di wilayah tersebut.
Kemuncak operasi darat berlaku pada 15 November, apabila tentera Israel menyerbu hospital terbesar Gaza, Hospital Al-Shifa, selepas melancarkan kepungan selama beberapa hari.
Israel cuba membuat propaganda jahat menuduh Hamas menggunakan kemudahan perubatan sebagai ibu pejabat, kononnya untuk menghalalkan operasi ketenteraan di Hospital al-Shifa.
IDF menuduh hospital itu memiliki terowong bawah tanah yang menjadi kubu operasi pejuang Hamas, dan dakwaan itu dinafikan oleh kakitangan hospital.
Gaza bertukar ‘neraka dunia’
Bedilan bom serta roket tanpa henti di Gaza tidak ubah seperti ‘neraka dunia’ buat penduduk Palestin yang terpaksa menjadi pelarian di tanah air sendiri demi mencari perlindungan dan keselamatan.
Walaupun Gaza tidak semaju bandar membangun lain, namun fasiliti yang terdapat di wilayah itu sudah cukup memberikan keselesaan kepada penduduknya.
Malangnya, senjata yang didanai Barat meranapkan hampir keseluruhan bandar Gaza, menyebabkan wilayah itu semakin ‘lumpuh’.
Hospital, sekolah dan kem yang dijadikan tempat perlindungan bagi penduduk yang berpindah, turut menjadi sasaran pengeboman Israel, walaupun ia terletak di kawasan yang diisytiharkan sebagai ‘zon selamat’.
Bukan hanya berdepan trauma perang, rakyat Palestin di Gaza juga mengalami krisis kemanusiaan terburuk akibat kekurangan bekalan makanan, air bersih dan akses perubatan ekoran kawalan ketat rejim Israel di pintu sempadan.
Israel bukan hanya memperluaskan pembunuhan beramai-ramai melalui kaedah pengeboman, bahkan rakyat Palestin diseksa melalui ‘kempen kebuluran bersasar’ yang mengakibatkan peningkatan kematian kanak-kanak di Gaza.
Menurut pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 37 rakyat Palestin meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan sejak 7 Oktober, kebanyakannya adalah kanak-kanak.
Gencatan senjata sementara
Gencatan senjata sementara pernah dikuatkuasakan kali pertama pada November 2023, selepas berminggu-minggu pertempuran Israel dan Hamas.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk menghentikan pertempuran selama empat hari bagi pertukaran tebusan wanita dan kanak-kanak di Gaza dengan wanita serta remaja yang ditahan di penjara Israel atas faktor keselamatan, selain membenarkan lebih banyak bantuan masuk ke wilayah itu.
Gencatan senjata ini akhirnya dilanjutkan selama seminggu dan membawa kepada pembebasan 105 tebusan dan sekitar 240 tahanan Palestin.
Perang kembali hantui Palestin
Perang disambung semula pada 1 Disember, dan beberapa hari kemudian tentera Israel melancarkan serangan darat berskala besar pertamanya di bandar Khan Younis, selatan Gaza.
Pada 6 Disember 2023, 22 sekeluarga terbunuh dalam serangan udara Israel di kem pelarian Jabalia di utara Gaza.
Dua hari kemudian, Amerika Syarikat (AS) memveto tuntutan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk gencatan senjata kemanusiaan segera, manakala United Kingdom memilih berkecuali.
Namun, sejak tahun ini AS mula beria-ia untuk mendesak gencatan senjata di Gaza, sehingga sekutu Israel itu berusaha keras menjadi pengantara untuk merealisasikan matlamat berkenaan.
Rundingan di Kaherah bertujuan untuk Israel dan Hamas bersetuju dengan terma gencatan senjata menjadi tumpuan pada awal Mei lepas.
AS dan pengantara Qatar serta Mesir yang berbulan-bulan cuba mendapatkan gencatan senjata masih gagal membawa Israel dan Hamas ke meja perjanjian.
Ini berikutan permintaan Israel untuk mengekalkan pasukan tentera di koridor Philadelphi antara Gaza dan Mesir, selain pertukaran tebusan Israel untuk tahanan Palestin yang dipenjarakan. – UTUSAN