ARAU: Hasil penyelidikan universiti akan diklusterkan mengikut bidang supaya kajian berkenaan boleh diaplikasikan dan dikomersialkan untuk kegunaan masyarakat.
Justeru, Kementerian Pendidikan Tinggi sedang mewujudkan satu pangkalan data (database) atau depositori bagi semua penyelidikan universiti yang dilaksanakan.
Ini selepas wujudnya kerisauan dalam kalangan akademik bahawa banyak penyelidikan serta penghasilan teknologi tinggi dilaksanakan universiti berakhir dalam peringkat jurnal sahaja tanpa diangkat ke peringkat lebih tinggi.
Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pembangunan depositori kajian itu dilakukan bagi mengelakkan lambakan kajian yang dijalankan penyelidik di semua institusi pengajian tinggi di negara menjadi satu pembaziran.
“Perkara ini diambil serius oleh kementerian, dan kita sedang membuat repositori dan masukkan semua penyelidikan serta inovasi ke dalamnya (repositori).
“Kita membuat kluster mengikut kajian yang telah dilakukan untuk melihat kesesuaian untuk diaplikasikan kepada masyarakat dan dikomersilkan,” katanya katanya selepas menghadiri Sesi ‘Talk To Us’ Bersama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Ilmu, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di sini, semalam.
Utusan Malaysia pada 28 Disember lalu melaporkan sejumlah besar hasil penyelidikan universiti tidak dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan masyarakat dan negara kerana wujudnya jurang besar antara universiti dan agensi kerajaan.
Hal ini mengakibatkan berlaku lambakan penyelidikan serta penghasilan teknologi tinggi dilaksanakan universiti yang kebanyakannya berakhir dalam peringkat jurnal sahaja.
Katanya lagi, pihaknya tidak mahu selepas ini segala penyelidikan universiti menerusi geran yang diberikan kepada penyelidik, akademik dan pensyarah tidak memenuhi keperluan industri.
Dalam perkembangan lain, Kementerian Pendidikan Tinggi menyalurkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Dungun yang maut di dalam satu kemalangan di Terengganu kelmarin.
Mustapha berkata, pihak kementerian turut membantu menyalurkan bantuan seperti pengurusan penghantaran jenazah ke kampung halaman untuk urusan pengebumian.
“KPT mengucapkan takziah kepada ketiga-tiga keluarga tersebut dan kami turut bersedih kerana kehilangan bakat-bakat terbaik negara. Di pihak kementerian, kita juga akan membantu keluarga termasuk dari sudut sokongan moral dan menyediakan kaunseling,” katanya.-UTUSAN