KPT akan umum kadar yuran baharu untuk anak golongan kaya - Utusan Malaysia

KPT akan umum kadar yuran baharu untuk anak golongan kaya

ZAMBRY Abd. Kadir melawat pameran dan beramah mesra dengan pengunjung pada program khidmat masyarakat HCTM di Dewan Komuniti Batu 10, Lekir di Lumut hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengumumkan kadar yuran pendidikan baharu bagi anak golongan kaya bagi sesi pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA) tahun depan.

Kadar yuran baharu itu susulan pengurangan subsidi pendidikan bagi kumpulan berpendapatan 15 peratus teratas di IPTA seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025, semalam.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kerajaan akan memastikan penyasaran subsidi pendidikan itu tidak bersifat diskriminasi atau membebankan kumpulan sasaran tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, ia akan dilaksanakan mengikut kaedah segmentasi atau pembahagian kumpulan berdasarkan pendapatan atau keperluan tertentu.

“Mekanisme pelaksanaan dan pendekatan itu akan kita umumkan (nanti), khususnya mereka yang berpendapatan tinggi yang dari segi amalannya sewajarnya tidak memperolehi perkhidmatan (subsidi) sampai ke tahap yang begitu (dinikmati golongan miskin).

“Namun, kita juga membuat perkiraan-perkiraan (seperti) khususnya tentang bilangan ahli keluarga dan juga daripada segi tahap pendapatannya (isirumah),” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Khidmat Masyarakat ‘Mari Berjumpa Pakar Kesihatan’ di Batu 10, Lekir, dekat sini hari ini.

Program anjuran Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu diadakan selama dua hari berakhir hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman dan Pengarah HCTM, Datuk Dr. Azmi Baharudin.

Semalam, ketika membentangkan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan mengurangkan subsidi pendidikan secara berperingkat bagi kumpulan pendapatan 15 peratus teratas.

Menurut Menteri Kewangan itu, kutipan yang diraih boleh dimanfaatkan untuk menambah baik prasarana Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) agar dapat dimanfaatkan oleh semua pelajar.

Zambry menjelaskan, kaedah segmentasi itu dilakukan kerana Perdana Menteri ada mengingatkan agar kerajaan tidak melaksanakan satu dasar yang akhirnya dilaksanakan kepada semua tanpa mengambil kira latar belakang terhadap pihak yang disasarkan.

“Maksudnya, tidak ada satu saiz kasut yang sama untuk dipakai oleh semua,” ujarnya.

Beliau menerangkan, unjuran berkaitan perkara tersebut sebenarnya sudah pun tersedia dan siap dan akan diperhalusi lagi selepas Perdana Menteri mengumumkan perkara tersebut.

“Maklumat terperinci akan diumumkan nanti yang meliputi pelajar IPTA sedia ada yang masih belajar tahun depan serta pelajar baharu sesi 2025,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya