KEMENTERIAN Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sedang membangunkan Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) bagi mengukur dan memantau tahap membaca rakyat Malaysia secara menyeluruh mulai 2025 hingga 2030.
Langkah itu bertujuan mengukur pencapaian pelaksanaan Dekad Membaca Kebangsaan dan Dasar Galakan Membaca susulan daripada dapatan Kajian Profil Membaca 2022/2023 sebagai salah satu pelan tindakan yang dilihat penting untuk melihat trend membaca rakyat Malaysia.
Pelaksanaan IMK dapat memberikan gambaran menyeluruh tentang tabiat membaca, jenis bahan bacaan yang diminati dan frekuensi membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Indeks ini dapat membantu pihak berkaitan dalam merancang strategi dan program yang berkesan untuk meningkatkan budaya membaca masyarakat.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menganjurkan Karnival Membaca Perdana 2024 bermula dari 1 hingga 31 Oktober ini.
Majlis perasmian tersebut diadakan di Pusat Beli Belah MyTown, Kuala Lumpur Jumaat lalu. Acara selama sebulan itu bertujuan memupuk budaya ilmu dan menggalakkan tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Karnival tersebut yang bertemakan ‘Perpaduan Melalui Pembacaan’ berusaha membentuk masyarakat yang berpengetahuan dan bertaraf dunia dengan menggalakkan membaca sebagai alat untuk memperoleh ilmu dan pembangunan diri.
Oleh itu, pelbagai program akan dianjurkan sempena karnival ini, termasuk Forum Membaca Perdana: Simfoni Perpaduan Melalui Pembacaan, Kempen Kesedaran Derma Buku, Podcast Sembang Pustakawan, Dialog Intelektual 2024.
Antara program lain adalah Bengkel Bahasa Melayu untuk Ekspatriat, Digital Exploration@U-Pustaka: Latihan Pangkalan Data Tutor Infiniti, Sehari Bersama Individu Kurang Upaya Penglihatan, Pelancaran Dokumentari Khas untuk Program Kalam Karyawan 2024, Minggu Literasi Maklumat, Doktor Buku, Pintar Jawi, Bank Buku, Spell-It-Right, Kaligrafi Melayu, Cina, dan India serta Pesta Buku Santai.
Statistik menunjukkan jumlah pengunjung PNM adalah seramai 51,151 orang merangkumi 450,274 pengunjung dalam talian dan 61,877 pengunjung bersemuka dalam tempoh Januari hingga Ogos 2024.
Daripada jumlah itu, sebanyak 61.3 peratus daripadanya adalah pengunjung bersemuka kategori dewasa dan 38.7 peratus adalah pengunjung kanak-kanak.
Pengunjung Perpustakaan Desa (PD) PNM pula adalah sebanyak 7,017,178 meliputi 506 buah PD PNM seluruh negara.
Sebanyak 927,116 adalah pengunjung fizikal dan 6,091,396 adalah pengunjung dalam talian.
Dalam pada itu, statistik PNM menunjukkan 102,813 program pembudayaan galakan membaca telah dilaksanakan di seluruh negara melibatkan penyertaan Perpustakaan Negara Malaysia, Perpustakaan Desa, Perpustakaan Komuniti dan Perpustakaan Awam Negeri Perlis dengan jumlah penyertaan sebanyak 3,748,409 orang sepanjang tahun 2023 sehingga Ogos 2024.
Perpustakaan memainkan peranan yang sangat penting sebagai tapak integrasi sosial untuk mendapatkan maklumat serta memupuk interaksi dan kolaborasi antara pelbagai lapisan masyarakat.
Ini adalah peluang untuk membina ikatan yang lebih erat di antara masyarakat, membangun dialog di antara kaum dan memperkukuh perpaduan di negara ini.
Penyediaan akses kepada bahan bacaan dan sumber pembelajaran, perpustakaan membantu individu untuk meningkatkan taraf pendidikan yang seterusnya menyokong integrasi sosial.
Program literasi juga dapat membantu mengurangkan jurang pendidikan antara pelbagai kumpulan dalam masyarakat. – UTUSAN