KPM kukuhkan advokasi galak pelajar tampil lapor gangguan seksual

KPM kukuhkan advokasi galak pelajar tampil lapor gangguan seksual

FADHLINA Sidek (kiri) meninjau gerai pameran sempena Karnival Pendidikan Madani dan Program Kolej Vokasional Insani Masyarakat Madani di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Usaha memperkukuhkan advokasi garis panduan gangguan seksual akan diperhebat bagi menggalakkan mangsa terutama pelajar sekolah lebih berani tampil untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, kementeriannya tidak akan berkompromi soal gangguan seksual dalam usaha memastikan institusi pendidikan kekal menjadi tempat selamat sekali gus menguatkan ekosistem pendidikan yang mendukung keselamatan anak-anak.

“Jadi, saya tegaskan sekali lagi bahawa garis panduan tentang gangguan seksual ini iaitu menangani isu gangguan seksual di institusi pendidikan telah pun dikeluarkan.

“Sehubungan itu, kita minta semua pihak termasuk guru dan pentadbir sekolah untuk mengambil tanggungjawab penuh terhadap garis panduan tersebut bagi melindungi pelajar,” katanya.

Fadhlina berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas berkaitan kes gangguan seksual yang berlaku dalam kalangan pelajar, namun mereka takut untuk melaporkannya.

Terdahulu, beliau hadir merasmikan Karnival Pendidikan Madani dan Program Kolej Vokasional Insani Masyarakat Madani di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal meyakinkan pelajar supaya tampil membuat aduan, malah memberi jaminan bahawa laporan terbabit akan ditangani dengan penuh integriti oleh pihak kementerian.

“Kita percaya lebih ramai pelajar yang terkesan dapat tampil manakala pihak sekolah pula perlu sentiasa berwaspada sekali gus mengambil tindakan segera apabila terdapat aduan berkaitan gangguan seksual,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya