KPJ Perlis sedia perkhidmatan memogram 3D Digital Tomosintesis - Utusan Malaysia

KPJ Perlis sedia perkhidmatan memogram 3D Digital Tomosintesis

HARI Ram Ramayya menunjukkan mesin memogram 3D Digital Tomosintesis dengan biopsi yang disediakan di Hospital Pakar KPJ Perlis di Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/MOHD HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Hospital Pakar KPJ Perlis menyediakan perkhidmatan memogram 3D Digital Tomosintesis dengan biopsi yang pertama di hospital berkenaan bagi membantu membuat saringan dan pemeriksaan payudara dengan imej yang lebih menyeluruh seterusnya memastikan keputusan lebih tepat.

Pengarah Perubatan KPJ Perlis, Dr. Hari Ram Ramayya berkata, kelebihan mesin X-Ray digital berkenaan ialah boleh menghasilkan imej payudara daripada pelbagai sudut khususnya mengesan sudut lokasi ketumbuhan.

Katanya, mesin bernilai lebih RM1 juta dari Amerika Syarikat (USA) itu boleh digunakan menjelang pertengahan November depan sekali gus bakal memudahkan penduduk di negeri ini khususnya melakukan saringan dan pemeriksaan tersebut.

“Kelebihan mesin ini juga mengurangkan keberangkalian keputusan tidak tepat terutama bagi wanita yang mempunyai payudara padat.

“Orang ramai boleh mendapatkan saringan awal payudara dan sekiranya perlu boleh terus diambil sampel ketumbuhan yang disyaki. Dengan adanya mesin ini, penduduk di negeri ini khususnya tidak perlu lagi pergi jauh sehingga Pulau Pinang bagi melakukan pemeriksaan dan saringan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, kanser payudara merupakan kanser utama yang menjadi ancaman kepada wanita di Malaysia dan dunia.

“Menurut rekod, satu daripada 20 wanita di Malaysia dikesan mengalami kanser payudara dan ia perlu dipandang serius,” katanya.

Hari Ram juga menasihatkan orang ramai khususnya yang berusia 40 tahun ke atas serta mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser payudara agar melakukan pemeriksaan dan saringan awal.

“Antara tanda-tanda awal adalah seperti ada lelehan cecair daripada puting payudara, bengkak atau ketulan di payudara serta kulit berkedut atas payudara,” katanya.

Sementara itu, katanya, hospital swasta pertama di Perlis itu juga bakal menambah 24 katil menjadikan keseluruhan 84 katil menjelang tahun depan bagi menampung keperluan pesakit di hospital berkenaan.

Sebagai rekod, KPJ Perlis yang beroperasi sejak 2018 mempunyai pakar perubatan dalaman, bedah tulang, bedah am, perbidanan dan sakit puan, kanak-kanak, pakar telinga, hidung dan tekak, mata dan pakar radiologi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya