KPDN semak harga rempah ratus naik menjelang Deepavali

KPDN semak harga rempah ratus naik menjelang Deepavali

ARMIZAN MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima laporan peningkatan harga rempah ratus menjelang Deepavali seperti dakwaan Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA) baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, bagaimanapun hasil semakan pihak kementerian mendapati ia tidak melibatkan semua barangan yang dinyatakan oleh PHA.

“Kita telah semak dan memang ada berlakunya perubahan harga barangan seperti yang dinyatakan. Kita juga sudah buat perbandingan harga antara Oktober 2023 dan September lalu.

“Kenaikan harga barang biasanya berlaku bukan sahaja pada musim perayaan. Harga turun dan naik berdasarkan faktor penawaran dan permintaan,” katanya ketika sidang media pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 di Sam’s Groceria, NU Sentral hari ini.

Sebelum ini, PHA memaklumkan berlaku kenaikan harga barangan keperluan terutamanya rempah ratus hingga 250 peratus menjelang sambutan Deepavali minggu hadapan.

Presidennya, P Murugiah dilaporkan berkata, pihaknya telah melakukan tinjauan di beberapa kedai runcit susulan aduan diterima dan mendapati terdapat peningkatan harga agak membimbangkan berbanding tahun lepas.

Katanya, harga buah pelaga melonjak daripada RM40 sekilogram pada tahun lalu kepada RM140 sekilogram tahun ini dan daripada 19 barangan yang dikaji, tujuh daripadanya mengalami kenaikan 100 peratus.

Dalam pada itu, Armizan berkata, pihaknya telah mengeluarkan beberapa notis kepada peniaga yang terlibat bagi memberikan penjelasan mengenai faktor utama kenaikan harga barangan tersebut.

“Yang penting sebaik sahaja menerima laporan media tersebut kita telah buat pemantauan. Kerajaan tidak akan lepas tangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN