KPDN rampas pelbagai barangan bernilai RM5.2 juta

KPDN rampas pelbagai barangan bernilai RM5.2 juta

AZMAN Ismail (kiri) ketika meninjau pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 di Pasir Puteh, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas pelbagai barangan bernilai RM5.2 juta yang didapati melanggar akta di bawah selian agensi itu.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, ia melibatkan kenderaan, barangan dan pakaian tiruan, barangan kawalan seperti gula, minyak, tepung gandung serta lain-lain.

Menurutnya, selain rampasan KDPN Kelantan turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM182,850 kepada peniaga yang dikesan melanggar Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Untuk rekod bermula Januari sehingga kini, sebanyak 65,131 pemeriksaan telah dilaksanakan seluruh negeri melibatkan pelbagai operasi dan pemantauan harga.

“Hasil pemeriksaan itu, sebanyak 874 kes melibatkan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal serta tidak meletakkan tanda harga pada barangan yang dipamerkan untuk jualan,” katanya kepada pemberita semasa melakukan tinjauan pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 di sini, hari ini.

Azman memberitahu, seramai 144 orang pegawai penguat kuasa dan 84 orang Pegawai Pemantau Harga telah melakukan pemeriksaan di seluruh negeri.

Dalam pada itu, Azman memberitahu, pihaknya akan membuat pengaktifan secara berpusat di seluruh cawangan pentadbiran di Pasir Mas, Kuala Krai dan Tanah Merah sebagai persiapan untuk berdepan musim banjir bagi memastikan kegiatan menyembunyikan barangan kawalan tidak berlaku. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya