SERDANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) memperkukuh kerjasama bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mendidik usahawan dalam mengurus harta intelek.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, antara langkah diambil adalah melalui penganjuran program IP Care dengan Pusat Pemindahan Teknologi dan Pembangunan Usahawan (TE), MARDI.
Katanya, program tersebut melibatkan 60 usahawan tempatan di bawah MARDI bertujuan memberi pendedahan tentang harta intelek termasuk perlindungan jenama dan inovasi produk.
“Dalam kerjasama ini, kita perlu pastikan inovasi yang dihasilkan dapat diperkukuh dengan perlindungan harta intelek.
“Ini bagi memastikan daya cipta yang dihasilkan oleh usahawan itu mendapat perlindungan hak cipta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena program AgroInvest MARDI di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.
Tambah Armizan, KPDN turut berhasrat MARDI untuk menyertai Pusat Sokongan Teknologi dan Inovasi (TISC) yang dibangunkan Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO).
Katanya, ia bagi mendapatkan akses kepada informasi teknologi dan penyelidikan terkini berkaitan perlindungan dan pengurusan hak harta intelek.
“Program ini beri akses kepada usahawan tentang sumber-sumber berkaitan selain latihan dalam carian pengkalan data.
“Melalui pelawaan ini, kita juga berhasrat untuk menjadikan MARDI sebagai organisasi TISC yang ke-26 bagi membantu mereka secara lebih menyeluruh agar setaraf dengan institusi penyelarasan yang lain,” katanya. – UTUSAN