PETALING JAYA: Kerajaan memperuntukkan RM27 juta kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sebagai isyarat ‘pengisytiharan perang’ terhadap penguasaan kartel di pasaran tempatan.
Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan peruntukan RM60 juta kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Katanya, sejak 2022 hingga September 2024, KPDN dan JKDM berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dengan hasil rampasan mencecah hampir RM2 bilion.
Katanya, KPDN dan JKDM disediakan RM60 juta untuk terus membanteras ketirisan wang rakyat.
“Setakat September 2024, MyCC berjaya memecahkan tembok penguasaan kartel dan penipuan bida melibatkan jumlah penalti dikenakan hampir RM600 juta melibatkan lebih 350 syarikat.
“Tahun hadapan, MyCC disediakan RM27 juta untuk terus memecahkan tembok penguasaan kartel,” katanya. – UTUSAN