Kor Ming pertimbang ambil tindakan undang-undang terhadap Razman - Utusan Malaysia

Kor Ming pertimbang ambil tindakan undang-undang terhadap Razman

NGA Kor Ming beramah mesra dengan penduduk Rumah Pangsa Jalan Ashby pada perasmian Pusat Komuniti KRT Jalan Hospital di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Razman Zakaria yang mendakwa beliau terlibat dalam perarakan tular sambil mengibarkan bendera China di Menara Condong, Teluk Intan, semalam.

Menurut Kor Ming, tindakan tersebut akan diambil selepas perbincangan diadakan bersama peguam.

“Laporan polis di Balai Polis Teluk Intan telah dibuat oleh pegawai khas saya di sana hari ini terhadap fitnah jahat Pas Perak yang sengaja menghasut bagi menimbulkan kebencian dan sensitiviti perkauman.

“Saya telah arah peguam untuk kaji kes ini dan sekiranya didapati berasas, ‘see you in court’ (jumpa di mahkamah),” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Hospital di sini hari ini.

Menurut Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, perarakan pada Sambutan Guan Gong Sedunia itu merupakan anjuran sebuah tokong di kawasan tersebut dan tiada kaitan dengan mana-mana parti politik.

Katanya, dakwaan Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak bahawa beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Wong Kah Leong terlibat dalam program itu tidak benar sama sekali.

“Berdasarkan kenyataan Razman, saya yang merasmikan perarakan tersebut sedangkan pada hari itu, saya ada mesyuarat di Kuala Lumpur. Jadi, bagaimana saya boleh berada di dua tempat dalam masa yang sama.

“Jelas ini adalah satu pembohongan. Malah, dia (Razman) dakwa kita yang anjurkan program itu sedangkan sebenarnya tidak. Ini adalah fitnah,” katanya.

Tambah beliau, permohonan maaf secara terbuka berkaitan insiden itu telah pun dibuat pengerusi tokong yang menjelaskan ia sebagai perbuatan yang tidak disengajakan.

“Saya difahamkan perarakan Guan Gong yang bersifat antarabangsa itu diadakan di beberapa tempat termasuk Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak di mana di negeri ini mereka memilih Teluk Intan.

“Malah dalam video lain, ada bendera negara lain juga yang dipegang ketika perarakan, bukan hanya negara China tetapi juga bendera Vietnam dan Thailand,” katanya.

Dalam pada itu beliau menegaskan, adalah penting untuk pihak tokong dan pihak penganjur supaya lebih sensitif selain rakyat warga asing menghormati undang-undang negara agar perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria dalam kenyataannya menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden tular bendera China dikibarkan yang didakwa berlaku ketika Pesta Tanglung pada 13 September lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN