Kor Ming gesa polis siasat fitnah perarakan kibar bendera China - Utusan Malaysia

Kor Ming gesa polis siasat fitnah perarakan kibar bendera China

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis digesa menjalankan siasatan terhadap pihak yang menyebarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung video tular perarakan sambil mengibarkan bendera China pada Sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan, malam tadi.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, tindakan tidak bertanggungjawab termasuk daripada pemimpin parti Pas itu disifatkan sebagai cubaan menghasut bagi menimbulkan kebencian dan berbaur perkauman.

“Pihak polis digesa supaya siasat dan mengambil tindakan segera terhadap semua pihak termasuk parti Pas yang menyebarkan fitnah.

“Semua pihak diingatkan agar menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum sekali gus menjulang kedaulatan undang-undang negara,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria dalam kenyataannya menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden tular bendera China dikibarkan yang didakwa berlaku ketika Pesta Tanglung pada 13 September lalu.

Razman berkata, tindakan mengibarkan bendera itu menyalahi Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 iaitu tiada seorang pun boleh mempamer mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam atau di sekolah.

Jelasnya, tindakan itu boleh dianggap sebagai satu tindakan provokasi yang mencabar kedaulatan dan keharmonian negara.

“Dalam video yang disebarkan secara jelas terdapat beberapa kumpulan yang menyertai program berkenaan dilihat mengibarkan bendera China yang langsung tiada kaitan dengan acara sambutan,” katanya.

Menurut Pesuruhjaya Pas Perak itu, sambutan tersebut dirasmikan Kor Ming yang merupakan Ahli Parlimen Teluk Intan merangkap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Wong Kah Leong.

Sementara itu, Kah Leong dalam kenyataannya menggesa Razman agar menarik semula dakwaan tersebut dan menafikan kehadiran beliau dan Kor Ming dalam program berkenaan.

Tegasnya, tindakan mengibarkan bendera China itu tidak pernah berlaku sewaktu berlangsungnya Pesta Tanglung anjuran wakil rakyat setempat yang diadakan pada 13 September lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris memaklumkan sidang akhbar berkaitan insiden itu akan diadakan pada pukul 8 malam ini. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya