Konvoi Misi Jelajah Peduli Ummah gerakkan 3,000 sukarelawan

Konvoi Misi Jelajah Peduli Ummah gerakkan 3,000 sukarelawan

NA'IM Mokhtar menunjukkan bantuan pek makanan pada majlis pelancaran dan Pelepasan Jelajah Peduli Ummah: Sejahtera Insan Al-Falah anjuran Mapim di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Konvoi Misi Jelajah Peduli Ummah: Sejahtera Insan Al-Falah yang digerakkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyasarkan bantuan kemanusiaan kepada lebih 100,000 orang.

Ia membabitkan penyertaan 3,000 sukarelawan dan 20 aset termasuk dapur dan klinik bergerak yang akan dikerahkan ke seluruh Semenanjung bagi menyantuni segenap lapisan masyarakat yang memerlukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, inisiatif kemanusiaan itu dilaksanakan bermula bulan ini sehingga Februari tahun depan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Zus Coffee.

“Konvoi misi jelajah itu akan menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf, B40, pelajar, anak yatim, orang tua, Orang Asli serta mangsa banjir dan pelbagai lagi segmen masyarakat di bawah paras kemiskinan dan memerlukan perhatian khusus tanpa mengira kaum dan agama.

“Program yang dianjurkan Mapim bukan sekadar insiatif kemanusiaan biasa, sebaliknya menjadi simbol pengorbanan, kasih sayang dan kesatuan dalam menyantuni mereka yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelepasan Konvoi Misi Jelajah Peduli Ummah: Sejahtera Insan Al-Falah di sini, hari ini.

Katanya, banyak kawasan pedalaman, terdapat komuniti Orang Asli yang masih kekurangan akses kepada kemudahan asas seperti air bersih, makanan dan pendidikan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, penganjuran program terbabit bersempena dengan Bulan Siaga Bencana.

“Kita menyedari bahawa negara kita sering berhadapan dengan cabaran bencana alam seperti banjir kilat, ribut, tanah runtuh dan pelbagai lagi bencana yang melanda.

“Setiap kali bencana ini berlaku, ia meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat, terutama bagi golongan yang sudah pun hidup dalam kesempitan. Kehilangan harta benda, tempat tinggal, bahkan nyawa, adalah realiti yang sangat menyedihkan,” katanya.

Sani berkata, selain aset bantuan bencana digerakkan, Mapim Malaysia turut menyediakan kotak bantuan merangkumi bekalan makanan, pakaian, ubat-ubatan, serta keperluan asas lain yang akan diberikan kepada mangsa bencana di seluruh negara.

Antara aset yang digerakkan sepanjang misi itu ialah 20 aset bantuan kecemasan terdiri daripada kenderaan bantuan pacuan empat roda, peralatan logistik seperti bot, alatan membersih rumah dan sukarelawan terlatih.

Sepanjang program itu berlangsung juga, beberapa pengisian utama akan dilaksanakan iaitu Misi Ummah Bantu Ummah, Karnival Peduli Ummah: Sejahtera Insan dengan Nilai Al-Falah, Majlis Selawat dan Solat Hajat, Ziarah Mu’saadah Dakwah dan Jiwa Murni Al-Falah serta Misi Bantu Asnaf dan Anak Yatim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya