KUBANG PASU: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh pesara Felcra, Sabari Baharom pada awal September lalu.
Tertuduh, Mazuan Hanafi, 38, dan Muhd. Asyraf Idris, 26, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian.
Perdakwaan ke atas kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai kontraktor dan pekerja kilang itu dibacakan di hadapan Majistret Nurul Huda Idris.
Kedua-dua mereka hanya mengangguk faham pertuduhan itu, namun tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka secara bersama-sama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Sabari, 62.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di titi Kampung Empa, Sungai Padang Terap, di sini kira-kira pukul 5.30 pagi, 4 September lalu.
Kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Rizal Fadzil dan Nasruna Anhar Nordien manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan ditawarkan terhadap kedua-dua tertuduh dan tarikh 5 Januari tahun depan ditetapkan untuk sebutan semula.
Terdahulu, kedua-dua suspek yang dikawal ketat oleh pasukan polis dibawa ke mahkamah itu pada pukul 8.13 pagi tadi dengan menaiki van polis.
Sebelum ini, mereka ditahan polis sejak 27 September lalu bagi membantu siasatan kehilangan Sabari yang dilaporkan sejak awal September.
Siasatan lanjut ke atas mereka mengakui telah mencampak warga emas itu ke dalam Sungai Padang Terap dengan keadaan tangan mangsa diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.
Berikutan itu, polis dibantu agensi penyelamat melancarkan gerakan mencari jasad Sabari di sungai tersebut bermula 30 September lalu sebelum operasi ditamatkan tiga hari kemudian kerana tiada sebarang penemuan diperolehi.
Akhbar sebelum ini melaporkan Sabari yang juga bekas pegawai kewangan Felcra didapati hilang sejak 4 September lalu dan gagal dikesan.
Kehilangan itu dianggap misteri oleh ahli keluarganya kerana kereta Proton Waja milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik, Jumaat lalu namun mangsa tiada.
Ahli keluarga mengesyaki Sabari dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun Tabung Haji lelaki itu ke akaun bank orang lain dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya. – UTUSAN